Gabung UEM Sunrise-EcoWorld, Khazanah jamin dasar Bumiputera terpelihara

0
557

KUALA LUMPUR — Khazanah Nasional Bhd memberi jaminan dasar Bumiputera tetap terpelihara dan tidak diketepikan dengan cadangan penggabungan UEM Sunrise Bhd dan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld).

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menegaskan adalah tidak benar untuk mengatakan langkah penggabungan itu akan menjejaskan pegangan Bumiputera.

Beliau berkata, Khazanah tetap menjadi pemegang saham terbesar dengan pegangan 43 peratus dan jika dilihat secara terkumpul, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan memegang lebih 50 peratus saham dalam syarikat yang digabungkan.

Katanya, sebarang dasar dan agenda Bumiputera yang harus didukung GLIC sebagai pemegang saham dalam syarikat yang digabungkan tetap terpelihara dan tidak akan diketepikan.

“Kita juga boleh melihat cadangan penggabungan ini sebagai usaha memperkasakan kebolehan dan kemampuan Bumiputera dalam sektor hartanah.

“Di samping itu, kami yakin penggabungan ini dapat memanfaatkan semua pemegang saham, termasuk pemegang saham Bumiputera,” katanya kepada BH menerusi e-mel bagi mengulas dakwaan penggabungan UEM Sunrise-EcoWorld bakal menjejaskan pegangan Bumiputera.

Shahril berkata, UEM Sunrise dan EcoWorld adalah syarikat tersenarai yang perlu memastikan bahawa kepentingan semua pemegang saham, termasuk pemegang saham minoriti, terpelihara jika cadangan penggabungan itu diteruskan.

Beliau turut menepis dakwaan cadangan penggabungan itu adalah sebagai langkah bailout.

“Cadangan penggabungan ini bukan ‘bail out’ untuk mana-mana pihak. Ia tidak membabitkan sebarang wang tunai dan hanya berdasarkan pertukaran saham dan waran.

“Ini adalah cadangan komersial bertujuan meningkatkan nilai untuk semua pemegang saham dengan mewujudkan pemaju hartanah yang mantap dalam setiap segmen industri dan boleh dianggap antara paling kompetitif di Malaysia,” katanya.

Shahril berkata, Khazanah percaya cadangan penggabungan itu akan menghasilkan pemaju hartanah lebih kukuh dan berdaya saing serta mampu meningkatkan nilai untuk semua pemegang saham dalam persekitaran yang mencabar pada masa ini.

Beliau berkata, UEM Sunrise mempunyai tumpuan pemilikan tanah atau simpanan tanah yang cukup besar di Johor dan segmen kediaman bertingkat tinggi, atau high rise sangat mencabar sekarang.

Justeru, katanya, penggabungan yang dicadangkan itu akan membantu mengimbangi komposisi pemilikan tanah UEM Sunrise dan membolehkan kedua-dua syarikat memanfaatkan kekuatan masing-masing, iaitu pemilikan tanah UEM Sunrise dan rekod prestasi EcoWorld dalam pembangunan bandar bersepadu serta taman perindustrian.

“Apa-apa pun, cadangan penggabungan ini baru sahaja bermula dan belum dimuktamadkan. Lembaga Pengarah UEM Sunrise dan EcoWorld perlu menjalankan ‘due diligence’ (kajian daya maju pelaburan) serta meneliti dengan halus cadangan ini sebelum membuat keputusan sama ada mengambil langkah seterusnya untuk mendapatkan persetujuan pemegang saham,” katanya.

Shahril berkata, pasaran hartanah dan kediaman sangat mencabar beberapa tahun lalu dan ia dikeruhkan lagi dengan penularan COVID-19.

Justeru, beliau berkata, konsolidasi industri terpaksa dipertimbangkan oleh semua syarikat dalam industri hartanah, apatah lagi kebanyakan syarikat mencatatkan prestasi yang kurang memberangsangkan dalam beberapa tahun yang lalu.

“Kajian menunjukkan pemaju hartanah yang besar lebih mampu untuk mengharungi cabaran serta mencatatkan prestasi lebih baik berbanding pemaju hartanah lebih kecil,” katanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/10/741731/gabung-uem-sunrise-ecoworld-khazanah-jamin-dasar-bumiputera
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here