Radhi OAG jadi penyampai radio

0
555
Radhi OAG (kiri) pada malam pelancaran Manthul FM baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TANYALAH apa saja kepada penyanyi Radhi OAG, beliau akan cuba sedaya upaya menjawab segala persoalan dengan ikhlas sewaktu ke udara sebagai penyampai radio menerusi Radio Online Rehab Sosmed Anda atau Manthul FM.

Manthul FM yang dilancarkan pada 10 Oktober lalu merupakan radio online rehab yang pertama di Malaysia yang dicetuskan oleh Radhi OAG atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, 43 tahun.

Berbekalkan semangat dan iltizam untuk terus pulih daripada ketagihan dadah, mengadakan sebuah stesen radio yang memperkatakan perihal pemulihan dan penyebaran kebaikan sentiasa menjadi impian dan cita cita Radhi.

Visi dan misi Manthul FM adalah untuk sama-sama menyebarkan kebaikan melalui infotainment serta menyuntik semangat positif buat para pendengar semua.

Bersama dua orang anaknya, Aisyah (depan) dan Muhamad (dukung) turut hadir memberi sokongan kepada kerjaya baharunya sebagai penyampai radio.

“Bagi saya, Manthul FM ini sesuai untuk orang yang macam saya. Maksudnya, menerusi radio ini, mereka yang sedang melalui rehab sama macam saya boleh berkongsi cerita.

“Saya adalah discovery addict, jadi saya kena berterus terang. Saya tak kisah orang nak kata apa. Bagi saya dengan cara perkongsian begini, sedikit sebanyak dapat membantu memulihkan mereka yang berkenaan.

“Bila saya berkongsi dengan orang setiap hari, insya-Allah saya punya discovering itu akan berpanjangan hingga hari saya mati, kalau bolehlah,” katanya penuh semangat.

Antara tenaga kru yang menjayakan pelancaran Manthul FM.

Radhi tidak menganggap perkongsian sejarah hitam dalam kehidupannya itu sebagai membuka pekong di dada. Sebaliknya, beliau mahu berkongsi pengalaman tersebut untuk dijadikan iktibar dan panduan kepada orang yang terlibat dan masyarakat luar.

“Apa yang saya dedahkan dalam program saya di Manthul FM adalah berdasarkan pengalaman saya dan kalau ada yang mahu berkongsi, silakan. Mungkin mereka malu untuk bercerita atau meminta bantuan daripada ahli keluarga, jadi saya sedia membantu.

“Sebenarnya berterus terang itu memudahkan kita untuk meneruskan kehidupan. Biar kita sama-sama saling membantu dan memberi peluang kepada mereka yang mahu berubah,” katanya yang akan berkolaborasi dengan anak kesayangannya, Aishah untuk program tersebut.

Manthul FM yang dikendalikan oleh GSR Entertainment yang beroperasi pada pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam itu, turut memberi peluang kepada bakat-bakat baharu untuk menjadi penyampai di stesen tersebut.

Antara segmen yang diketengahkan adalah Rise And Shine (motivasi) yang ke udara pada pukul 6 pagi hingga 10.30 pagi yang turut menjemput tetamu undangan.
Pada pukul 11.30 pagi hingga 3 petang pula segmen Saudara Dunia Akhirat (bisnes), manakala Radhi pula akan mengendali segmen Lex Lu Bro yang bermula pada pukul 5 petang hingga 9 malam. Bermula pukul 10 malam hingga 12 tengah malam adalah segmen Santai Momantai.

Kemeja-T dengan logo Manthul FM antara promosi pada hari pelancaran.

Sementara itu, ketika ditanya tentang hal peribadinya, Radhi yang suka berterus terang itu menjelaskan, beliau kini rapat dengan seorang pelajar di pusat pengajian tinggi.

“Kali ini saya nak kunci mulut dulu, biar dia belajar bagi habis, kemudian baru saya cerita. Apa yang penting, Aishah suka dengan yang ini. Sekarang ini saya nak tumpu perhatian kepada Manthul FM.

“Selain itu saya juga bercadang untuk mengikuti kursus di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kursus Substance Abuse, tentang penagihan. Kalau saya ambil course itu bolehlah bantu saya untuk buat motivasi dan talk,” kata Radhi yang mempunyai tiga orang anak, hasil daripada dua perkahwinan lalu.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here