Politik dan Covid mana lebih bahaya?

0
357

Oleh Arrazaq Nazri

MANA lebih bahaya – Politik atau Covid, tanya seorang teman. Pastinya, beliau sudah jemu dengan senario politik semasa. Kedua-duanya sama-sama bahaya jika sikap pentingkan diri dijadikan keutamaan dan kebajikan rakyat dikesampingkan.

Ketika kerajaan dan apatah lagi rakyat dihantui kebimbangan, pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berminat untuk bermain sandiwara politik. Beliau sibuk menjaja buat kali keempat bahawa beliau mendapat sokongan untuk menjadi perdana menteri.

Kita juga dapat melihat sikap dan tahap kepatuhan ahli politik sendiri terutama menteri Kabinet yang kurang lebih bersikap sambil lewa dalam mematuhi SOP Covid-19. Ini menyebabkan rakyat sendiri berasa loya dengan tingkah laku mereka, dan tidak kurang juga ibarat ‘ayah kencing berdiri, anak kencing berlari.’

Pastinya kita dapat melihat banyak posting sindiran termasuk ada membandingkan senario antara Malaysia dgn negara jiran tentang kedegilan menteri enggan mengikut SOP. Begitu juga illustrasi sekumpulan orang termasuk ahli politik menaiki sampan , sambil tertera kenyataan siapa yang patut dipilih untuk dicampak keluar.

Kini, sikap penting diri menyaksikan tiga buah negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 hingga 27 Oktober depan.

Terdapat suara-suara yang menyangkal kononnya orang politik tidak boleh dipersalahkan. Bukan salah mereka katanya.

Sebenarnya, rakyat sudah jemu dengan telatah mereka tanpa mengira siapa atau parti mana. Apa yang paling penting memastikan makanan terhidang untuk mereka sekeluarga hari-hari seterusnya dan dijauhi Covid-19.

Rakyat kini dapat melihat sendiri sikap sebenar pemimpin-pemimpin tanpa mengira parti, mereka bukan teladan yang baik. Tidak kurang yang terlalu tamak dan sombong dengan kuasanya, lebih-lebih lagi pertama kali bergelar YB.

Terdengarkah di telinga kita, pemimpin yang miliki jutaan ringgit duitnya menghulurkan sedikit kekayaannya ketika rakyat menderita. Benar ada bantuan Kerajaan tetapi bukan sedikit rakyat yang terlepas pandangan akibat ketidakcekapan pengurusan pihak berwajib.

Duit yang diterima rakyat juga sebenarnya bukan milik mereka (pemimpin politik) tetapi juga hasil titik peluh rakyat sendiri yang dibayar atas nama bermacam-macam cukai dikenakan. Itu pun dikira pelbagai ketirisan yang berlaku.

Ramai pemimpin ini lupa tentang denyut nadi rakyat dan keperitan ditanggung mereka kerana tidak pergi sendiri ke pasar, apa lagi membanting tulang. Segala makanan mereka sudah tersedia hidang di rumah atau makannya mewah di hotel-hotel pilihan.

Sejujurnya rakyat di tiga buah negeri yang kini diistihar kawasan merah dan juga lain-lainnya, ‘poket mereka’ sudah lama kekeringan, apatah lagi kini terpaksa ‘berkubu’ di rumah.

Penjual merenung jauh ke hadapan menunggu jualan, bilangan pembeli yang dahulu sibuk kini surut berkurangan. Mereka yang bekerja sendiri paling tak keruan.

Bayangkan bulan Disember nanti, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen, Batu Sapi, Sabah akan berlangsung lagi susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 2 Oktober lalu. Apakah, bakal PKP lagi?

Rapuh atau tidak kerajaan semasa, bergantung kepada semua pihak – bersediakah mereka untuk berkorban atau berlebih kurang demi RAKYAT sebenar-benarnya sehingga berakhirnya Covid-19 mungkin berakhir dua tahun lagi.

Namun begitu melihatkan ugutan demi ugutan dibuat pemimpin politik terutamanya UMNO, perubahan kerajaan boleh berlaku lagi, kerana kata-kata boleh menjadi doa yang dikabulkan tuhan.

-Artikel ini adalah semata-mata pendapat penulis dan tidak semestinya mencerminkan dasar BebasNews.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here