Hakcipta drama TV jadi milik penerbit – Zakaria Abdul Hamid

FINAS akan menyerahkan Hakcipta penerbitan itu kepada penerbit dan ia akan menjadi milik mereka buat selamanya.

0
1764

Oleh MUZLINA ABU BAKAR/Video: Bob Buhairi

PEPATAH Melayu ada berkata ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’ dan itulah yang diharapkan oleh penerbit drama tempatan demi kelangsungan mereka dalam industri ini.

Betapa tidak meskipun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jun 1981 (sebelum ini ketika ditubuhkan pada 26 Julai 1980 ia dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan Filem Malaysia) namun ia dikatakan lebih memfokuskan kepada industri filem tempatan.

Para penerbit drama tempatan yang dikatakan turut menjana ekonomi negara bagai ‘dianaktirikan’ oleh FINAS kerana matlamatnya hanyalah untuk industri filem tempatan.

Bagaimanapun dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, kini para penerbit drama swasta dan program TV tempatan boleh menarik nafas lega kerana mereka tidak ‘dianaktirikan,’ sebaliknya menjanjikan sinar baharu buat mereka.

Meskipun matlamat penubuhan FINAS terbabit dengan penggalakan perfileman di Malaysia dengan pelaksanaan Akta Penggalakan Pelaburan 1986 yang turut memacu aktiviti pengeluar filem dan video tempatan, penerbit drama kini turut diberi perhatian.

Di bawah Dana Pelaksana yang diperkenalkan baru-baru ini, sebanyak RM40juta yang diperuntukan bukan sahaja dapat membantu para penerbit menerbitkan drama dan program untuk TV AlHijrah, TV3 dan Astro malah yang lebih penting penerbit boleh tersenyum lega kerana kepentingan mereka tidak diabaikan.

Melalui Dana Pelaksana, ia bukan sahaja memberi hak kepada stesen TV memilih kandungan program yang sesuai untuk penonton mereka malah ia juga memberi penerbit sesuatu yang amat berharga yang tidak pernah mereka miliki.

Zakaria Abdul Hamid ketika ditemui di sebuah hotel di pinggir kota baru-baru ini memberitahu;

“Apa juga program TV sama ada drama, dokumentari, rancangan bercorak keagamaan ataupun hiburan yang diterbitkan melalui Dana Pelaksana semua hakcipta akan menjadi milik syarikat penerbitan berkenaan.

“Ini bermakna jika stesen TV mahu ulangtayang program berkenaan mereka haruslah meminta kebenaran dan membayar amaun yang ditetapkan kepada penerbit walaupun bayarannya kurang daripada tayangan pertama.

“Bukan itu sahaja, malah setelah tayangan pertama, penerbit juga boleh menjual program mereka kepada stesen TV lain dengan bayaran bersesuaian.”

Menurut Zakaria, segala syarat berkenaan termaktub dalam MoU (Memorandum Persefahaman) yang telah ditandatangani pihak tiga stesen TV swasta berkenaan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Iskandar Mizal dan Naib Presiden Astro, Agnes Rozario pada 28 Julai lalu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

“FINAS yang menanggung kos penerbitan melalui dana berkenaan tidak menghadkan kandungan program yang mereka mahukan sama ada drama bersiri, dokumentari, hiburan atau program agama kerana hanya mereka yang tahu selera penonton.

“Bagaimanapun FINAS akan menyerahkan Hakcipta penerbitan itu kepada penerbit dan ia akan menjadi milik mereka buat selamanya.

“Itulah satu diantara tiga matlamat mengapa Dana Pelaksana ini diadakan iaitu selain stesen TV mendapat program baru yang diperlukan, penerbit drama memiliki hakcipta dan pekerja di belakang tabir ada sumber pendapatan,” kata Zakaria Abdul Hamid.

Menyentuh mengenai hakcipta, adalah difahamkan sebelum ini RTM hanya memegang hakcipta drama terbitan penerbit untuk tempuh dua tahun sahaja yang mana selepas itu hakcipta menjadi milik penerbit.

Bagaimanapun khabarnya apabila TV3 dan kemudian muncul Astro yang memegang hakcipta secara total apa juga program yang disiarkan di stesen TV mereka, RTM dikatakan turut mengikut trend berkenaan.

“Apa yang FINAS lakukan ini adalah sebagai memperkasakan industri penerbitan program swasta dan tidak mahu para penerbit menganggap mereka ‘dianaktirikan.’

“Walaupun buat masa ini, FINAS mensyaratkan hakcipta program yang terlibat dibawah Dana Pelaksana menjadi milik penerbit,
namun menjadi hasrat kami untuk memartabatkan hakcipta kepada karyawan dan penerbit kerana karya adalah harta intelek mereka.

“Program Dana Pelaksana adalah perintis kepada usaha ini, dan FINAS akan merangka kaedah untuk memperkasakan hasrat ini,” jelas Zakaria Abdul Hamid.

Menyentuh mengenai sikap stesen TV menentukan para pelakon yang mereka mahukan berdasarkan ‘followers’ artis melalui media sosial dan ini menyebabkan pelakon ‘demand’ sehingga RM20,000 untuk sebuah Cerekarama yang menjalani penggambaran hanya tujuh hari, Zakaria menegaskan;

“Dalam memperkasakan industri penerbitan drama dengan menyerahkan Hakcipta kepada penerbit, FINAS melalui MBOT (Lembaga Teknologi Malaysia) dan UiTM (Universiti Teknoloji MARA) akan menyediakan Skim Akreditasi. Skala bayaran akan dinilai oleh panel yang terdiri daripada pemimpin industri dan persatuan-persatuan artis.

“Melalui Skim Akretidasi para penggiat seni dimestikan mendaftar dengan Akademi Nilai Kelayakan untuk menentukan ‘star rating’ dan bayaran mereka berdasarkan pengalaman dan pencapaian bukan berdasarkan pengikut di media sosial.

“Jika mereka layak diletakkan sebagai pelakon lima bintang bayarannya juga setaraf itu dan yang penting lojik dan tidak membebankan penerbit. Saya mendapat tahu stesen TV cuma membayar RM90,000 dan jika pelakon utama lelaki meminta bayaran setinggi itu bagaimana dengan yang lain?

“Saya kesian jika penat lelah penerbit yang mengeluarkan kos puluhan ribu ringgit dan setelah menunggu berbulan-bulan hanya mendapat profit RM2,000 sahaja!”

Menurut Zakaria, FINAS mahu memperkenalkan ‘Star Rating’ kerana ia adalah ke arah melayakkan artis tempatan ke Anugerah Oskar.

“Saya tahu ramai yang mentertawakan saya malah ada yang melemparkan kata-kata kononnya saya berangan mengalahkan Mat Jenin hanya kerana saya menzahirkan matlamat FINAS agar satu hari nanti artis Malaysia dicalonkan pada Anugerah Oskar…siapa tahu kalau sudah itu ketentuan-Nya,” kata Zakaria

Selain pelakon, melalui Skim Akretidasi para pekerja di belakang tabir seperti pengarah, krew penerbitan dan teknikal juga akan dinilai melalui pengalaman bagi menentukan bayaran yang setimpal untuk mereka.

Menurut Zakaria, selain Dana Pelaksana, melalui Dana Kandungan Digital (DKD), FINAS memperuntukkan sebanyak RM15juta bagi kategori program televisyen dan dokumentari.

Pada Jun 2020, sebanyak RM7.8juta telah diserahkan kepada 23 penerbit dan pada September baru-baru ini sebanyak RM7.2juta lagi diserahkan kepada 50 penerbit.

“FINAS menyerahkan dana berkenaan kepada mereka yang layak dalam usaha membantu industri kreatif yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” kata Zakaria Abdul Hamid.

Sementara itu menyentuh mengenai penggambaran drama dan filem yang dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober, Zakaria memberitahu;

“FINAS menggalakan setiap kru dan pelakon yang menjalani penggambaran sepanjang PKPB mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menjalani saringan ‘swab-test’ bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka disamping mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Sebagai tanda prihatin, FINAS mengambil inisiatif melaksanakan Insentif Saringan Prihatin sebanyak RM5,000 sahaja kepada setiap syarikat penerbitan bagi kos berkenaan yang akan dibayar setelah pihak penerbit menyerahkan dokumen tuntutan.”

Bagaimanapun saringan tersebut harus dilakukan di klinik panel FINAS sama ada di Megaklinik Zahran di Bandar Baru Bangi atau di lokasi penggambaran yang dipersetujui dengan menghubungi 0389122524 atau Nabilah Muhamed Shahrel di talian 012 5060151.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here