‘Kek figura pemain JDT’ jadi santapan Raja Muda Johor

0
293
KEK istimewa sempena hari keputeraan yang ketiga Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail yang berupa Kesebelasan Utama JDT. - Foto FB JDT.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

RAJA Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail mendapat kek istimewa sempena hari keputeraannya yang ketiga, semalam yang berupa figura kesebelasan utama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di atas padang bola sepak miniatur.

Putera sulung yang juga anakanda kedua Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam itu diraikan dalam satu majlis malam hari keputeraannya yang turut dihadiri barisan pemain, jurulatih dan pegawai JDT dan keluarga mereka.

Laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers menyiarkan gambar-gambar majlis dan kek istimewa itu yang turut menampilkan aksi figura Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim memijak bola di depan kesebelasan utama ‘Sang Harimau Selatan’.

Sambutan hari keputeraan Leo (nama timangannya) kali ini pasti dianggap lebih indah dan manis memandangkan skuad bimbingan Benjamin Mora dari Mexico itu, baru sahaja bergelar juara Liga Super 2020 iaitu kejayaan musim ketujuh berturut-turut sejak 2014.

Kelab kepunyaan TMJ ini mengesahkan kejuaraan yang digelar ‘Magnificent Seven’ (Tujuh Terhebat) dan ‘Seventh Heaven’ (Kegemilangan Ketujuh) ketika berbaki satu perlawanan selepas menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 Oktober lalu.

Antara figura dalam ‘XI JDT’ kek itu ialah Farizal Marlias, Lawrence Corbin-Ong, Natxo Insa, Aidil Zafuan Radzak, Harris Harun dan Leandro Velasquez serta Safaqwi Rasid yang sudah pun menyertai Portimonense SC, Portugal secara pinjaman semusim.

 

Pasangan Tunku Ismail dan Che’ Puan Khaleeda yang berkahwin pada 2014, mempunyai dua lagi anakanda – seorang puteri Tunku Khalsom Aminah Sofiah dan seorang putera, Tunku Abu Bakar Ibrahim yang masing-masing berusia empat dan setahun.

Laman Facebook JDT itu menyiarkan, “ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor sempena Hari Keputeraan baginda pada 14 Oktober 2020 bersamaan 26 Safar 1442 Hijrah.
“Sembah Takzim daripada kami para pemain, pihak pengurusan, pegawai serta penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim. Allah Peliharakan Sultan,” lapor laman itu.

BARISAN pemain dan pegawai pasukan JDT bergambar dengan keluarga Tunku Ismail sempena majlis meraikan hari keputeraan putera sulungnya itu. – Foto FB JDT.

JDT masih mempunyai dua misi musim ini iaitu mempertahankan Piala Malaysia yang sepak mulanya sudah ditunda ke 6 November gara-gara peningkatan kes pandemik Covid-19 dan saingan Kumpulan G Liga Juara Asia (Zon Timur) di Qatar mulai 19 November ini.

Undian Piala Malaysia 2020 akan dilangsungkan 1 November ini dengan format saingannya hanyalah kalah singkir tanpa timbal balik yang melibatkan 16 pasukan, gara-gara kesuntukan masa setelah Liga Malaysia tertangguh akibat Covid-19 dari Mac hingga Ogos lalu.

Kini menghuni anak tangga kedua Kumpulan G, JDT masih berbaki empat perlawanan iaitu berdepan Guangzhou Evergrande, China pada 19 November, menentang Suwon Samsung Bluewings, Korea Selatan (25 November), melawan Vissel Kobe, Jepun (1 Disember) dan kembali menghadapi Guangzhou Evergrande tanggal 4 Disember.

JDT sudah mengharungi dua perlawanan peringkat awal ini dengan dibelasah Vissel Kobe 5-1 di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit menewaskan Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Iskandar Puteri pada 3 Mac lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here