Jangkitan Covid-19 cecah paras tertinggi, Eropah perketat peraturan

0
284
FOTO: Wikimedia Commons/Michał Beim / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0)

Oleh Fetty Rara

TERBAHARU dilaporkan bahawa beberapa negara Eropah kini cemas dengan lonjakan serius kes Covid-19, justeru kerajaan masing-masing merayu orang ramai supaya lebih mengambil serius keadaan yang amat berbahaya itu.

Di Perancis, perintah berkurung telah dikuatkuasakan daripada pukul 9.00 malam hingga 6.00 pagi di sembilan bandar raya bermula Sabtu lepas, lapor bbc.com.

Presiden Emmanuel Macron menyarankan supaya ‘peraturan enam’ (rule of six) yang dilaksanakan di United Kingdom diguna pakai di Perancis.

Ia bermakna gelembung sosial hanya dibenarkan di antara kumpulan enam individu sama ada di rumah mahu pun di tempat awam.

Presiden wilayah bandar raya Paris pula menggesa supaya semua pekerja bertukar kepada kaedah bekerja dari rumah sekurang-kurangnya tiga hari dalam seminggu bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dan sekali gus menyekat penularan virus.

Di Portugal langkah-langkah keselamatan diperketat hari ini dan kerajaan telah mengisytiharkan ‘keadaan musibah’ di seluruh negara.

Perhimpunan awam dihadkan kepada lima orang, sementara majlis perkahwinan tidak melebihi 50 hadirin. Negara itu mencatatkan jumlah kes paling tinggi sebanyak 2,072 semalam.

Di Republik Czech semua sekolah dan bar diarahkan tutup bermula semalam, tetapi langkah yang dianggap agak terlambat itu terus menyaksikan jumlah kes semakin naik, dengan catatan sebanyak 9,544. Perdana Menteri Andrej Babis berkata katil-katil khas Covid-19 akan ditempatkan jauh dari hospital bermula hujung minggu ini.

Di Jerman, Canselor Angela Merkel merayu golongan muda di negara itu agar tidak terlalu berparti ‘supaya esok dan hari-hari seterusnya akan kembali normal.’

Jumlah jangkitan harian telah mencecah paras rekod 6,638 dan sekatan ketat akan dilaksanakan di kawasan-kawasan di mana kes mencecah 35 bagi setiap 100,000 orang. Bagi kawasan yang mencatatkan 50 kes peraturan lebih serius akan dikuatkuasakan.

Itali mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi sejak pandemik bermula dengan 7,332 kes.

Perdana Menteri Giuseppe Conte merayu orang ramai supaya lebih ‘bertanggungjawab’ mengamalkan SOP demi keselamatan semua.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here