Umno, Parti Pejuang bakal jadi ‘Kingmaker’?

0
328

Oleh Sarfarizmal Saad

SEJARAH politik negara kita memperlihatkan parti Umno merupakan sebuah hegemoni turun temurun yang kukuh lagi ‘tak lut’ dengan serangan.

Namun segala-galanya berubah sejak tahun 2008 apabila Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi mengambil tampuk pemerintahan Umno daripada Dr Mahathir Mohamad, beberapa tahun sebelum itu.

Perubahan berlaku apabila prestasi Umno makin merudum dalam pilihan raya dan berlarutan ke tahun-tahun berikutnya. Kuasa politik terbesar orang Melayu mencapai lengkung graf mendatarnya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018 apabila diisytiharkan tidak lagi mampu membentuk Kerajaan Malaysia.

Buat pertama kalinya Umno menjadi pembangkang di Dewan Rakyat. Situasi yang tidak pernah dijangkakan oleh sebuah kuasa hegemoni, namun Allah telah membuktikan bahawa kuasaNYA mejangkau semua perkara.

Kerajaan Pakatan Harapan yang dibentuk rupanya tidak bertahan lama. Gabungan antara Parti Bersatu, DAP, Parti Amanah dan lain-lain serpihan tidak mampu meletakkan kedudukan Umno dan rakan-rakannya di kerusi pembangkang dalam tempoh yang lama.

Dr Mahathir selaku Ketua Kerajaan bertindak letak jawatan dan keluar dari Parti Bersatu, yang juga serpihan Umno. Suasana politik tanah air menjadi kucar kacir, ditambah lagi semasa itu kita diserang hendap oleh musuh halimunan COVID-19.

Akhirnya ‘ayam tambatan’ Dr Mahathir iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin secara ‘mengejut dan terkejut’ diangkat mengetuai kerajaan dengan membentuk gabungan baharu pro Bumiputera – Parti Bersatu, Umno dan PAS.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu pula bertindak membentuk Parti Pejuang – serpihan Umno, serpihan Parti Bersatu. Dua serpihan yang rapuh jika mahu berdiri sendiri.

Namun tindakan Dr Mahathir telah membentuk satu lagi kuasa penentu dalam dunia politik negara.. Walaupun jumlah yang sertai Parti Pejuang itu tidak mencapai angka jutaan ahli, namun ahli-ahli Dewan Rakyat nya ternyata mampu menjadi kuasa penentu bagi blok kerajaan dan blok pembangkang.

Sekarang Umno dan Parti Bersatu nampaknya kembali berkrisis. Umno mendakwa mereka sudah lama telah ‘ditikam belakang’ oleh beberapa tindakan daripada pihak tertentu dalam kerajaan.

Lantas, membawa kepada keputusan Biro Politik Umno mengisytiharkan akan memikir kembali kerjasama dengan Perikatan Nasional – hasil ukhuwah antara Parti Bersatu, PAS dan Umno – sekiranya tuntutan Umno tidak dipenuhi Parti Bersatu.

Ternyata Tan Sri Muhyiddin kini tersepit. Beliau perlu memikirkan tuntutan Umno ketika rakyat masih berdepan dengan COVID-19, Parti Bersatu baru mahu membina kekuatan, PAS dalam usaha membentuk kepercayaan dan bekas-bekas pemimpin PKR pro Datuk Seri Azmin Ali pula baru mula untuk melupakan Reformasi.

Maka Umno yang dulu telah hilang kuasa hegemoni dan peranan penentunya dalam politik tanah air, akan kembali menjadi kuasa pengugut dikala ini?

Sekiranya Umno terus istiqomah berperwatakan sebegini, apakah corak kepimpinan negara di hari-hari mendatang? Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim ada ruang untuk bergelar Perdana Menteri sekiranya beliau mampu mengikut ‘selera’ Umno yang terbiasa dengan kuasa?

Tidak boleh dilupakan juga Parti Pejuang yang diam tapi mungkin sedang berisi. Takkan Ahli Parlimen Langkawi itu hanya berpeluk tubuh melihat situasi ini dimainkan oleh bekas anak-anak buahnya dalam Umno dan Parti Bersatu?

Akhirnya jangan terkejut apabila sampai satu ketika, Parti Pejuang dan Umno akan menjadi ‘kingmaker’ paling ideal dalam negara kita. Siapa kata mustahil? Mana-mana parti yang ingin membentuk kerajaan selepas ini, mungkin perlu datang mengetuk pintu dan menghadap Parti Pejuang dan Umno?

Ironinya, pemimpin kedua-dua parti berkenaan turut ada dalam Parti Bersatu dan PKR, hanya tiada dalam PAS, DAP dan Parti Amanah saja. Dikala PAS sedang mesra bersama Umno dan Parti Bersatu dikala ini, ia tidak mustahil bahawa mereka juga mampu ‘okey’ dengan Parti Pejuang untuk membentuk kuasa politik paling bergaya.

Adakah Umno dan Parti Pejuang akan menjadi ‘kingmaker’ di Malaysia untuk memahatkan DAP, PKR dan Parti Amanah sebagai pembangkang sampai bila-bila? Tidak mustahil.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here