Setem papar Beirut ‘meletup’ cetus kemarahan rakyat Lubnan

0
243

GEMPAR… Ketika warga Lubnan cuba melupakan insiden letupan dahsyat di Beirut lebih dua bulan lalu sambil bina semula ibu kota itu yang hancur, kehidupan mereka sekali lagi ‘gempar’ kembali.

Namun, ini bukan kerana bandar raya dihuni 2.2 juta penduduk itu dilanda bom, sebaliknya susulan tindakan agensi pos negara tersebut, LibanPost menerbitkan setem yang berimej agak kontroversi.

Media melaporkan, setem edisi terhad harga 10,000 pound (RM27.50) itu memaparkan imej letupan dramatik pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu berpunca daripada 2,750 tan bahan kimia di gudang.

Gegaran kuat yang dapat dirasai sehingga 250 kilometer itu telah bunuh 203 orang serta lebih 6,500 cedera selain sekitar 300,000 orang hilang kediaman dengan nilai kos kerugian cecah AS$15 bilion.

Meskipun hasil jualan setem itu bakal diserahkan kepada agensi pertahanan awam Lubnan, rakyat negara tersebut pula marah kerana LibanPost dianggap tidak sensitif dengan penderitaan mangsa.

Apatah lagi, pelancaran setem berkenaan dibuat ketika proses siasatan peristiwa letupan itu ditunda beberapa kali dan tiada pihak dihukum dek cuai dalam pengurusan bahan berbahaya di pelabuhan.

“Seseorang wajar dipecat kerana biar LibanPost boleh jual setem sebegini yang jelas tiada langsung perasaan simpati kepada keluarga mangsa,” ciap Mustapha Hamoui menerusi akaun sosial Twitter.

Seorang lagi pengguna platform media sosial itu, Joelle Bassoul dalam nada sinis menulis: “Beirut kehabisan setem ini ketika kami dibebani cukai tinggi dan saya kena beratur untuk beli setem ini.”

Mischka Mourani pula ciap: “Ini tindakan bodoh, manifestasi kejahatan dan pihak di sebalik projek setem ini patut malu sebab hingga kini tiada sesiapa tampil bina semula rumah kami yang hancur.”

Insiden letupan buruk itu turut dorong peletakan jawatan Perdana Menteri, Hassan Diab dan jemaah menteri setelah Presiden Michel Aoun bersetuju isytihar darurat seluruh negara selama dua minggu.

Setakat ini, LibanPost yang ditubuh sejak 1998; dengan memiliki 74 buah pejabat pos dan 900 staf serta urus 20 juta surat setahun, belum keluar sebarang kenyataan balas mengenai isu setem itu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here