Rejaman tanduk: Pupus bersama nama sepak raga

0
607

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

“SATU, dua, tanduuukkk!” Malah hantaran bola daripada apit kiri atau pengumpan juga dilakukan secara tandukan kepala. Servis atau sepak mula tekong pun hanyalah sepak sila yang sekadar bertujuan melepasi jaring atau menghantar kepada lawan.

Penangan penyudah yang popular sekitar era 60-an hingga 70-an ini mungkin sukar ditemukan lagi malah seperti kurang relevan dalam sepak takraw alaf baharu yang serba laju dan lebih tangkas seperti dalam ‘liga TV’, baru-baru ini.

Sepak takraw sekarang sama ada ketika mengumpan atau menyerang, sudah dikuasai pergerakan kaki yang memukau penonton menerusi badik, servis kuda, libasan gulung, rejaman kalih dan pukulan pari.

Tandukan hanya penting ketika menyambut servis tekong lawan (bola sulung atau first ball) yang biasanya disasarkan kepada apit kiri. Kalau ada pun rejaman tanduk, cuma apabila terdesak atau kerana ‘dihadiahkan’ bola tanggung regu lawan.

Ketika era muda sepak raga jaring yang kemudiannya ditukar kepada sepak takraw mulai Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965, tandukan kepala kerap digunakan sebagai cara utama mematikan bola di kawasan lawan.

AKSI rejaman tanduk oleh apit kanan Malaysia dalam sepak takraw alaf baharu.

Serangan kaki pada era tersebut biasanya cuma secara terjahan atau tujahan tapak di depan jaring apabila umpanan untuk tandukan penyudah, sudah terlajak menghampiri sempadan lawan di jaring.

Inilah aksinya apabila Malaysia menentang Thailand di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 21 Disember 1965 dalam Sukan SEAP Ketiga yang juga perlawanan antarabangsa rasmi pertama antara dua musuh tradisi sepak takraw.

Bola yang digunakan pada temasya ini diperbuat daripada rotan tiga lapis tetapi dianggap para pemain, mempunyai ‘spring’ yang jauh berbeza dengan bola sintetik bersalut getah sehingga menuntut kebanyakan pemain era silam mengalas kepala masing-masing dengan tuala kecil persis bandana.

Baru-baru ini, video perlawanannya yang jarang didapati dan disiar TV ini, diperoleh daripada Setiausaha pertama Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff dan bekas pegawai kanan sepak takraw Pulau Pinang, Mokhtar Sheriff.

Seorang warganet, Harjit Kaur yang mula-mula memuat naik video ini pada laman sosial Facebook yang berjudul ‘Malaysiaku Dulu Dulu’ pada 8 Oktober 2020 lalu.

Rakaman perlawanan regu berpasukan bertempoh dua minit 10 saat itu mungkin diterbitkan sama ada oleh Radio Televisyen Malaysia atau Filem Negara Malaysia dengan suara pengulasnya dipercayai milik Datuk Aziz Ibrahim.

Regu pertama Malaysia, Abd. Rahman Md. Noor (tekong), Husainy Hashim (perejam) dan Amir Shaari (pengumpan) meraih mata pendahuluan 1-0 selepas menewaskan gandingan Thailand, Charoem Srijamom, Chammeam Sangsom dan Yootana Tubpavatin 15-5, 15-9.

Malangnya, pelawat menyamakan kedudukan 1-1 apabila Sa Linaganit, Saval Wongpipud dan Poonjit Palasin mengatasi Zainol Abidin Md. Noor, Mohamad Esman Bajuri dan Mohamed Kassim Abu Bakar 16-18, 18-16, 15-7.

Namun Said Md. Hassan, Mohd. Nor Osman dan Ahmad Mat Saman berjaya memastikan kemenangan 2-1 dengan menundukkan Chao Supipat, Sujin Guewsavarng dan Sangaroon Jamnudda 15-3, 15-8 yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Praphas Charusathien.
Barisan pemain simpanan skuad emas ini pula ialah Abdul Karim Shaari, Aziz Ahmad dan Ismail Ahmad.

SKUAD negara pemenang pingat emas sepak takraw pertama dalam Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.

Skuad negara bimbingan Razali Shukor dengan pengurusnya, (Allahyarham Tan Sri) Ahmad Razali Mohd. Ali (bekas Menteri Besar Selangor juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia – PSM) merangkul pingat emas pertama sepak takraw Sukan SEAP yang memperkenalkannya.

Sekalipun Malaysia yang mengajar Thailand bermain sepak raga jaring beberapa bulan sebelum Sukan SEAP itu, Si Gajah Putih pula mengejutkan lawan yang turut lebih berpengalaman, Singapura 2-1 untuk meraih pingat perak.

Singapura langsung pulang dengan tangan kosong malah memberikan kemenangan percuma ketika menentang Malaysia sementara Laos memungut pingat gangsa dalam saingan empat penjuru secara liga sepusingan itu.

Tiga hari terdahulu (18 Disember 1965) juga di stadium tersebut, kemasukan sepak raga jaring ke Sukan SEAP (Semenanjung Asia Tenggara) 1965 hangat diperdebatkan dalam kalangan pegawai Malaysia, Singapura, Thailand, Burma dan Laos.

Pada mesyuarat jawatankuasa pengelola Sukan SEAP itu, wakil Malaysia dan Singapura mahu terus menggunakan nama ‘sepak raga’ sementara wakil Thailand, Burma dan Laos berkeras membantahnya.

Dakwa mereka, ada ciri-ciri seperti bola dan cara permainan sepak raga terdapat pada sukan tradisi mereka, ‘takraw’ (bola rotan dalam Thailand), ‘chinlone’ dan ‘kator’ lantas menggesa agar nama-nama itu turut dipakai.

Akhirnya Malaysia dan Singapura beralah dan berkorban untuk mencantumkan sepak dan takraw menjadi sepaktakraw (Dewan Bahasa dan Pustaka memisahkannya, sepak takraw) namun Burma enggan menyertainya kerana nama cadangan mereka, chinlone (mirip sepak raga bulatan Malaysia) ditolak.

Sebagai tuan rumah Sukan SEAP Rangoon 1969, Burma juga enggan mempertandingkan sepak takraw. Chinlone akhirnya dipertandingkan (kini Myanmar) sebagai satu cabang sepak takraw Sukan SEA di tanah air mereka, Naypyidaw pada 2013 dan diteruskan dua lagi temasya di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here