Serangan panik Ropie Cecupak tak kira tempat

0
288
Ropie Cecupak tidak boleh memandu jarak jauh tanpa teman.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

HARAPKAN badan saja besar tapi takut bersendirian terutamanya bila memandu jarak jauh. Orang yang tak pernah mengalami serangan panik (panic attack) bolehlah cakap apa saja, tapi bagi Ropie Cecupak, itulah situasi yang kerap dilaluinya.

Untuk pengetahuan, serangan panik adalah serangan keresahan atau ketakutan yang berkala. Setiap episod berlangsung sekitar 15-30 minit, walaupun kesan sisa dapat berterusan lebih lama.

Selama serangan panik, pesakit merasakan ketakutan atau tidak selesa yang disertai oleh takikardia (denyut jantung yang lebih cepat berbanding denyut jantung normal), jantung berdebar, sakit dada, perasaan tercekik, berkeringat, gementar, mual, pusing, perasaan tidak sebenar (derealisasi), depersonalisasi dan takut mati atau takut menjadi gila.

Serangan panik dapat berlaku secara spontan atau sebagai tindak balas terhadap situasi tertentu.

Menurut Ropie, beliau mula mengalami serangan panik ketika usianya 40 tahun dan sejak itu, pemegang watak Pak Kodi dalam  sitkom J.K.K. (Jenaka Kampung Kalut) tidak berani memandu kereta untuk jarak jauh seorang diri.

Ropie (dua dari kiri)bersama pelakon sitkom J.K.K.

“Saya ni ada panic attack, bila tua-tua ni. Tak boleh seorang diri, terutamanya bila memandu. Saya kena panic attack ini masa umur 40 tahun dan pernah pengsan di tepi highway.

“Tiba-tiba rasa berpeluh dan bila keadaan macam tu, mulalah fikir yang bukan-bukan. Bila dibawa pergi ke hospital, masuk air, dua atau tiga pain, periksa darah semua okey semula.

“Serangan panic attack ni datang tak menentu tanpa mengira masa dan tempat. Saya rasa ramai artis yang saya kenal sudah ada penyakit ini, yang muda-muda lagi. Saya pun kena umur 40 tahun, dua tiga kali juga,” katanya yang kini berusia 53 tahun.

Jelas Ropie, doktor beritahu, antara punca berlakunya serangan panik adalah kerana kepenatan, tak cukup tidur, tak cukup rehat dan kolesterol.

Dek kerana tahap kesihatan dirinya yang tak menentu itulah menyebabkan Ropie lebih selesa menerima tawaran berlakon di kawasan berhampiran sahaja.

“Penggambaran di luar kawasan, saya tak akan ambil. Saya perlu bawa seseorang sebagai peneman. Selalunya isteri akan mengikut saya bila bekerja.

Solekan untuk salah satu watak yang dilakonkan oleh Ropie dalam sebuah drama.

“Bila boleh keluar berdua, baru saya lega sikit dan ambil job. Sebelum ini yang membenarkan penggambaran tapi tidak boleh bawa pembantu atau perlu solek sendiri, saya tak terima. Begitu juga, kalau diberi pilihan saya lebih selesa bekerja atau berlakon di dalam studio.

“Bukan nak tunjuk besar kepala, sebab saya tahu sejauh mana tubuh saya dapat terima tugasan tersebut. Saya tak mahu, kalau penyakit saya itu datang menyerang, nanti menyusahkan orang lain. Baik saya berhati-hati,” katanya yang turut ditawar berlakon filem Puteri Gunung Sengkuang, terbitan HSF Production (M) Sdn. Bhd.

Mahu mencuba pelbagai watak selain komedi jika diberi peluang.

Bapa kepada tiga orang anak (dengan bekas isteri pertama) dan bakal menerima cucu kedua, Ropie berkata, beliau sering ditawarkan watak komedi, baik dalam drama atau filem.

Jelas Ropie, beliau setuju berlakon filem Puteri Gunung Sengkuang kerana mahu bekerja dengan pelakon Sheila Mambo yang kali ini bertindak sebagai kru belakang tabir.

“Saya pernah berlakon dengan kak Sheila tapi bekerja dengan dia belum dan sebab itulah saya nak cuba. Lagipun ini filem komedi, jadi kenalah dengan watak saya.

“Kekadang tu nak juga cuba watak serius tapi pengarah selalu kata rugi kalau bagi saya watak serius. Jadi nampak gayanya tak ada peluanglah. Hanya tiga pengarah saja yang sering bagi saya peluang bawa watak serius iaitu Liza Ismail, Zul Arshad dan Ghani G,” katanya.

Biarpun keinginannya untuk melakonkan watak lain tipis berbanding komedi, namun Ropie tidak terkilan kerana jiwanya lebih kepada dunia lawak.

“Saya tak rasa terkilan sebab jiwa saya sebelum jadi artis memang saya nak dua benda, selain daripada nama betul dan nak jadi pelawak. Itu memang cita-cita saya dari dulu.

“Susah nak dapat watak lain sebab orang dah cop, macam Ebby Yus dan Bell, bila dah buat komedi, orang tak panggil untuk watak serius. Sedangkan mereka dari drama serius ke komedi. Saya ni dari mula lagi dah komedi,” jelas Ropie yang nama sebenarnya ialah Zahid Tajuddin.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here