Miliki hakcipta drama TV: Penerbit harap jadi kenyataan

0
499
BADE HAJI AZMI

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PARA penerbit drama menyambut baik saranan FINAS bahawa semua stesen TV harus menyerahkan hakcipta kepada para penerbit setelah karya mereka disiarkan untuk sekali tayangan sahaja.

Walaupun buat masa ini, FINAS mensyaratkan hanya hakcipta program yang terlibat dibawah Dana Pelaksana menjadi milik penerbit, namun adalah menjadi hasrat FINAS untuk memartabatkan hakcipta kepada karyawan dan penerbit kerana karya adalah harta intelek mereka.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baru-baru ini telah melancarkan Dana Pelaksana sebanyak RM40juta untuk disalurkan kepada para penerbit drama TV AlHijrah, Media Prima Bhd. dan Astro.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid semalam memberitahu BebasNews melalui MoU (Memorandum Persefahaman) yang ditandatangani tiga stesen TV berkenaan pada 28 Julai lalu bersetuju dengan syarat yang termaktub.

Beberapa syarikat penerbitan ketika dihubungi hari ini melahirkan rasa gembira dengan usaha FINAS dan berharap ia bukan janji kosong dan tidak dikhaskan untuk projek di bawah Dana Pelaksana dan stesen TV swasta sebaliknya merangkumi semua program terbitan para penerbit tempatan dan untuk semua stesen TV termasuk RTM.

Bagi Bade Haji Azmi yang telah mengarah 14 filem antaranya “KL Menjerit, Berlari Ke Langit, Castello dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior” dan pernah menjadi penerbit 20 tahun lalu menerima saranan itu dari sudut pro dan kontra.

“Saya pernah menjadi penerbit selama 20 tahun dan telah mengarah 30 tahun, walaupun tidak pasti ianya akan menjadi kenyataan namun saya berharap ia bukanlah satu angan-angan.

“Cerita penerbit akan mendapat hakcipta penerbitan mereka sebenarnya bukan cerita baru malah dah lama tetapi saya berharap dengan penglibatan FINAS ia akan menjadi kenyataan,”kata Bade penuh harapan.

Bagaimanapun katanya, sampai saat ini beliau masih ingat beberapa tahun dahulu ketika berurusan dengan sebuah stesen TV mengenai hakcipta.

“Bayangkan saya mengeluarkan kos penerbitan hampir RM70,000 disebabkan saya tidak mahu menyerahkan hakcipta, stesen TV berkenaan hanya mahu membeli drama saya secara ‘window’ iaitu dengan harga RM30,000 bukan harga sebenar, akhirnya saya terpaksa serahkan hakcipta.

“Sebagai penerbit (ketika itu) kami ni bagaikan mentimun, bergolek luka, kena golek pun luka,” kata Bade.

Menyentuh mengenai Skim Akretidasi untuk menentukan ‘star rating’ bayaran pelakon dan krew, Bade berkata;

“Saya harap apa yang FINAS rancangkan ini akan dihormati dan diikuti oleh penerbit kerana kebanyakan pengarah di Malaysia memang tiada kelayakan ‘on paper’ tetapi ia adalah anugerah Allah.

“Bayangkan saya sudah mengarah 30 tahun dan penerbit membayar saya sebagai pengarah terlalu rendah berbanding pelakon utamanya mendapat tiga kali ganda daripada saya.”

RASHID SIBIR

Sementara itu Rashid Sibir, pengarah yang tidak asing lagi ketika ditanya mengenai hakcipta berkata;

“Sudah lebih 20 tahun saya menerbit dan mengarah drama dan sebagai sebuah syarikat kecil saya memang berharapkan miliki hakcipta kerana saya boleh ‘menjual’ drama itu ke stesen TV lain.

“Saya harap apa yang dikatakan itu akan menjadi kenyataan kerana dengan memiliki hakcipta sekurang-kurangnya penat lelah kami dihargai,” kata Rashid Sibir selaku penerbit dan pengarah Opera Klasik dan Rasbir Sdn. Bhd.

Bagaimanpun Rashid berharap FINAS akan memperjuangkan hakcipta dipulangkan kepada penerbit bukan sahaja di bawah Dana Pelaksana dan stesen TV swasta malah terbuka kepada semua.

“Saya buat drama menggunakan duit sendiri tanpa sesen pun daripada mana-mana bantuan dan bagi saya adalah tidak adil kerana keuntungan dikaut stesen TV setiap kali diulangtayang melalui iklan,” ujar Rashid.

Menyentuh mengenai stesen TV swasta yang menentukan pelakon utama berdasarkan populariti mereka di media sosial, Rashid berkata;

“Jika dulu pengarah yang menentukan pelakon tetapi kini stesen TV mahukan yang popular. Bayangkan ada yang demand sampai RM15,000 untuk Cerekarama sedangkan shooting hanya lima hari.

“Jika begini sikap mereka, apa nasib pelakon-pelakon yang berbakat tetapi sudah berusia. Tetapi sebagai penerbit kami tersepit kerana stesen TV ni kebal!”

SHUHAIMI LUA

Penerbit Tanah Beris Sdn. Bhd. juga pengarah yang mula popular dengan drama “Perempuan Tanpa Rahim,” Shuhaimi Lua pula berpendapat;

“Usaha FINAS agar stesen TV menyerahkan hakcipta kepada kami amat dihargai kerana dengan itu setelah ditayang di stesen TV berkenaan bolehlah kami jual ke stesen TV lain samada di Malaysia atau di Singapura.

“Tetapi entah bilalah ia akan menjadi kenyataan kerana sebelum ini saya mendapat tahu persatuan pernah memperjuangkannya tetapi ia bagaikan mimpi di siang hari. Senyap begitu sahaja.”

Bagaimanapun beliau menyokong Skim Akretidasi demi keadilan mereka di belakang tabir yang dibayar terlalu rendah dan hampir sama 20 tahun dahhlu.

ANNE ABDULLAH

Bagi penerbit RD Sdn. Bhd., Anne Abdullah yang lebih selesa menerbit drama RTM berkata;

“Sejak tiga tahun lalu saya lebih selesa menerbitkan drama untuk RTM. Walaupun mereka mempunyai senarai pelakon tertentu tetapi sikap tolak ansur mereka memudahkan kerja saya.”

Bagaimanapun kata Anne, beliau tetap berharap agar pihak stesen TV tidak mengambil hakcipta setiap hasil karya RD Sdn. Bhd.

HAJI FADZIL TEH

Sementara itu, Pengarah Urusan Zeel Productions, Haji Fadzil Teh atau lebih dikenali Haji Zeel, menyambut baik saranan FINAS agar setiap stesen TV menyerahkan hakcipta kepada pihak penerbit setelah menayangkan drama itu untuk kali pertama.

“Walaupun buat masa ini, FINAS mengutamakan drama atau apa juga program yang mendapat Dana Pelaksana, harapan saya agar kebajikan kami tidak dilupakan.

“Sebenarnya sebagai penerbit saya bukanlah tamak, tetapi jika stesen TV kerap ulangtayang drama kami dan memberi bayaran sekurang-kurangnya kami boleh berkongsi rezeki dengan kru di belakang tabir yang mendapat bayaran terlalu rendah,” kata Haji Zeel.

Menyentuh mengenai artis pilihan stesen TV, beliau menjelaskan pihaknya tiada masalah kerana stesen TV mempunyai alasan kerana itu penting untuk mendapatkan iklan.

“Saya tidak terlalu harapkan artis kita ke Anugerah Oskar cuma saya terfikir alangkah baiknya jika setiap kali FINAS menghadiri Festival Filem di Cannes dan membawa artis kita ke sana untuk diperkenalkan.

“Bukan itu sahaja, saya terlalu berharap mendapat banyak projek drama dari RTM agar saya boleh berkongsi rezeki itu bersama kru dengan mengambil mereka sebagai kakitangan tetap,” kata Haji Fadzil Teh.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here