Patuhi nasihat Agong

0
276
fotoBERNAMA

Oleh Ahmad Abdul Hamid

ADAKAH kepentingan politik dan kedudukan diri lebih utama ketika negara berdepan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik Covid-19?

Pandemik ini telah banyak menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Namun ketika usaha harus ditumpukan ke arah mengekang penularan wabak ini, ia dibayangi pula dengan panasnya kemelut politik tanah air.

Keadaannya begitu membahang mendorong Yang di-Pertuan Agong, Al-Sutan Abdullah Ri’ayatuddin Shah Al-Mustafa Billah Shah mengeluarkan titah nasihat agar rakyat, dan ahli politik kususnya, bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diseret ke kancah politik tidak menentu.

Pastinya baginda sebagai payung negara amat memahami situasi politik kini selepas yang pernah berlaku beberapa bulan dahulu. Sehubungan itu, baginda memberi ingatan agar jangan sampai sekali lagi kemelut politik melanda negara.

Yang jelas kini ada pihak begitu ghairah dan tidak sabar hendak mengambil alih tampuk pemerintahan negara dengan mendakwa telah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Dalam gabungan parti yang mendukung kerajaan juga suasana panas. Ada parti dalam gabungan yang melahirkan hasrat mahu keluar daripada kerajaan, khususnya kerana tidak puas hati selagi kehendak tidak dipenuhi.

Ini didorong oleh anggapan bahawa sebagai parti utama yang menyokong dan sama-sama membentuk kerajaan, ia telah tidak diberi peranan dan perkongsian kuasa sewajarnya. Ia kecewa tidak diberi jawatan atau kedudukan penting dalam kerajaan.

Pastinya Seri Paduka sangat memandang berat gelora politik ini. Apa yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan kerajaan yang ada tidak stabil tetapi boleh menyebabkan pergolakan perebutan kuasa yang berterusan. Akibatnya usaha membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat boleh tergugat.

Sehubungan itu, amat bertepatan sekali nasihat baginda kepada ahli-ahli parlimen untuk mempamerkan kematangan berpolitik. Bukan hanya sibuk berpolitik tetapi lebih penting memahami dan menghayati keluh kesah rakyat serta tidak mengabaikan mereka.

Baginda mahu ahli politik tidak membesarkan perbezaan sehingga diakhiri dengan permusuhan. Sebaliknya selesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Nasihat ikhlas Yang di-Pertuan Agong ini sewajarnya dijadikan pegangan dan panduan serta dipahat di dalam minda ahli politik.

Ini kerana apa yang ketara kebelakangan ini lebih berkisar kepada keghairahan mahu kuasa dan jawatan.

Tentunya ini bukan yang diharapkan oleh rakyat. Mereka mengharap kerajaan membela nasib mereka serta menjaga kebajikan. Tetapi pemimpin politik dilihat lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan cita-cita politik.

Tidak hairanlah rakyat melihat slogan ‘Demi bangsa, agama dan negara’ sebagai tidak lebih daripada retorik yang dilaungkan sebelum mendapat kuasa. Sesudah mendapat kuasa perlahan-lahan slogan ini diketepikan. Kedudukan politik dan kepentingan diri nampak lebih diutamakan.

Di sini pastinya rakyat dapat menilai sejauh mana tahap keikhlasan para pemimpin politik, dan apa sebenarnya matlamat akhir mereka dalam kancah politik.

Jelas gelora yang berlaku sekarang sangat mengecewakan rakyat. Bukan sahaja wujud percubaan mengambil alih kuasa tetapi dalam gabungan yang membentuk kerajaan sekarang juga sudah menampakkan bibit-bibit retak yang jika tidak diatasi dengan teliti boleh membawa belah.

Semuanya kerana rasa tidak puas hati dengan peranan dalam kerajaan, kerana tidak mendapat agihan jawatan yang sewajarnya sebagai rakan kongsi utama. Maka terbitlah kata dua untuk menarik sokongan jika hajat tidak dipenuhi.

Bukankah ini semua berkaitan dengan kuasa dan kedudukan? Mungkin tidak mendapat semua yang dihajati, tetapi perkongsian kuasa juga memerlukan pengorbanan serta give and take. Jika semua hendak jawatan utama tentu sahaja tidak dapat dipenuhi kerana jawatan itu terhad.

Kembalilah kepada perundingan dan persefahaman. Pihak yang ghairah mahu ambil alih kuasa dan pihak dalam kerajaan yang berkongsi kuasa mesti sama-sama memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

Kestabilan politik penting dalam menghadapi gejala Covid-19 dan mengukuhkan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak tersebut. Utamakan kesejahteraan negara dan rakyat.

Semua pihak yang terlibat mesti menghayati dan menerima nasihat Seri Paduka dengan berlapang dada. Kurangkan perbezaan, tekankan persamaan. Jangan sampai ‘gajah sama gajah berjuang pelanduk mati di tengah-tengah’.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here