Tyka tak kisah dikata tumpang tuah Upin & Ipin

0
239
Tyka Zatyka diberi peluang menyanyikan lagu Goyang Sama-Sama.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KALAU sebut nama Upin dan Ipin, dari usia kecil hingga dewasa semua tahu tentang karakter dua beradik yang dicipta oleh syarikat animasi Les’Copaque itu.

Bagi golongan dewasa, siri animasi ini mungkin sekadar hiburan tetapi tidak kepada penonton kanak-kanak kerana apa yang ditonjol dalam siri tersebut menjadi ikutan mereka.

Lihat sajalah lagu Goyang Upin & Ipin yang dimuat naik di YouTube Les’Copaque sejak 3 Ogos lalu telah mencecah tontonan sehingga 65 juta lebih. Itu menunjukkan kuatnya pengaruh si Upin dan Ipin ini.

Melihat kepada sambutan hangat lagu tersebut, pihak Nova Music memilih untuk bekerjasama dengan Les Copaque Production (LCP) untuk memperdengarkan lagu tersebut dalam versi dangdut.

Asalnya lagu ciptaan Arif Asyraf Munap dan lirik oleh Ahmad Zakri Tomirin itu dinyanyikan oleh suara karakter asal animasi berkenaan.

Untuk projek usahasama itu, seorang bakat baharu diberi peluang mendendangkan lagu tersebut yang ditukar judulnya kepada Goyang Sama-Sama.

Penyanyi yang dipertanggungjawab untuk menyampaikan lagu Goyang Sama-Sama ialah Tyka Zatyka atau nama sebenarnya, Noor Amierazatyka Ayob, 25.

Mempunyai kelompok peminat tersendiri di Indonesia menyebabkan Tyka dipilih untuk menyanyikan lagu Goyang Upin & Ipin versi dangdut, Goyang Sama-Sama.

Tyka Zatyka dipilih kerana beliau mempunyai kelompok peminat di Indonesia seperti mana Upin dan Ipin yang cukup diminati di negara jiran itu.

Lagipun Tyka adalah pemenang tempat keempat pertandingan D’Academy Asia (DAA) di Indonesia musim keempat pada tahun 2018.

“Semuanya terjadi begitu pantas. Saya menerima mesej daripada pihak Nova Music beberapa bulan lalu. Ketika itu,  saya berada di Kuala Lumpur kerana ada persembahan menyanyi dengan Noraniza Idris.

Tyka tak kisah dikatakan menumpang tuah Upin & Ipin kerana tahu karakter animasi itu mempunyai pengaruh yang kuat.

“Saya diberitahu ada lagu animasi Upin & Ipin berentak dangdut yang mahu dinyanyikan. Saya difahamkan ada beberapa nama penyanyi dicadangkan, tapi rezeki berpihak kepada diri ini. Satu penghormatan untuk artis baharu seperti saya di atas peluang manis ini.

“Rakaman lagu dibuat pada 12 Ogos. Kebetulan sejak menyertai DAA musim keempat, saya terdedah dengan lagu dangdut. Jadi mungkin juga itu antara lesen besar tuah memihak kepada saya,” katanya optimis.

Tambah anak bongsu daripada lima beradik itu, beliu melakukan penggambaran video muzik lagu Goyang Sama-Sama pada 12 September lalu sebelum dimuat naik secara rasmi di YouTube Nova Music Videos pada pukul 3 petang, 16 Oktober, semalam.

“Angka 12 juga seperti membawa tuah kepada saya. Macam saya katakan tadi, lagu itu dirakamkan pada 12 Ogos lalu. Video muzik pula pada 12 September. Sebesar impak lagu itu dapat diterima di Indonesia khususnya serta Malaysia, saya juga mengharapkan yang sama untuk versi baharu ini.

“Jujurnya, menyanyikan lagu dangdut itu bagai sebati dalam diri. Kemampuan saya menyanyikan lenggok irama Malaysia sejak kecil mungkin bonus untuk menguasai genre muzik lain. Bukan mahu mendabik dada, tapi saya bersyukur dapat menyanyi pelbagai irama sekali gus bukti kemampuan diri ini bersifat versatil.

“Di persaingan DAA 4 pun irama dangdut itu yang membantu nama saya dikenali di sana. Mungkin juga irama dangdut yang akan beri tuah untuk saya menyinar selepas ini. Saya tak kisah jika ada yang menganggap diri ini menumpang populariti Upin & Ipin. Semuanya itu soal rezeki,” katanya.

Tyka yang mula menunjukkan kebolehan menyanyi sejak usia empat tahun memberitahu, lagu irama Malaysia, Seri Mersing menjadi karya pertama dinyanyikannya sewaktu kecil.

Tyka harapkan tuah menyebelahi dirinya dalam mengejar impian sebagai penyanyi menerusi lagu Goyang Sama-Sama.

“Masa itu ibu bapa pun sudah mula nampak kecenderungan bakat menyanyi ketika di sekolah rendah. Saya sudah mula beraksi di pentas majlis kahwin. Istilah malu memang tak ada dalam diri. Saya beranikan diri masuk pertandingan karaoke depan orang ramai. Pantang dapat mikrofon mulalah saya nak menyanyi.

“Ketika di sekolah menengah pun saya banyak masuk pertandingan menyanyi. Pertandingan Seiras Seirama yang disiarkan di Astro pun saya masuk. Saya pilih Misha Omar sebagai ikon. Peserta yang masuk kena tiru gaya nyanyian artis mereka. Saya sanggup memotong rambut pendek seperti Misha. Nyanyi angkat kaki yang jadi ‘trend’ Misha pun saya boleh buat. Saya layak ke peringkat akhir, namun tak jadi juara.

“Selepas itu saya meneroka banyak peluang menyertai pertandingan lain seperti Bintang Klasik RTM, 3 Juara di TV3 dan hingga DAA 4. Cuma tuah saya tak ada untuk bergelar juara. Tapi itu tak melemahkan semangat. Ibu sering memberi semangat untuk saya terus melakar jaya,” katanya yang pernah muncul dengan single Wangikanlah Hatimu berduet dengan Noraniza Idris dan single Cinta Happy.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here