Safawi mulakan aksi sulung B23 di Portugal

0
392
SAFAWI Rasid (depan, kiri) membarisi kesebelasan utama Bawah 23 Tahun Portimonense SC menentang Sporting CP dalam Liga Pendedahan - Selatan, semalam. - Foto Portimonense SC.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

SAFAWI Rasid membuat penampilan sulungnya dalam perlawanan sebenar di bumi Portugal apabila membarisi kesebelasan utama skuad Bawah 23 Tahun Portimonense SC menentang Sporting CP dalam hari perlawanan kelima Fasa Satu Liga Pendedahan – Selatan.

Beliau yang masih pemain sayap kanan Harimau Malaya itu bermain selama 56 minit pada perlawanan menentang Sporting CP yang dimenangi lawan 3-1 di Pusat Internship, Dois Irmaos.

Dia menjadi pemain Malaysia kedua yang beraksi di Portugal selepas Nazmi Faiz Mansor melakukannya dengan kelab divisyen tiga Portugal, Beira-Mar pada 2012.

Inilah aksi pertama anak jati Besut Terengganu itu, sejak diperkenalkan oleh pengurusan Portimonense SC pada 7 Oktober lalu dan beliau dipinjamkan ke kelab asing itu selama semusim oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menyarung jersi bernombor 10 skuad belia ini, Safawi, 23, digantikan oleh Felipe Dini, empat minit sebelum Sporting CP menjaringkan gol kedua mereka namun Portimonense SC terlebih dulu membuka jaringan menerusi kapten, Romulo pada minit ke-16.

SAFAWI (jersi kuning) cuba menggelecek tiga pemain Sporting CP. – Foto Portimonense SC.

Gol-gol pelawat dihasilkan oleh Rafael Fernandes pada minit ke-27, Duarte Carvalho (60) dan N. Skoglund (63) sekali gus membawa pulang tiga mata liga.

Skuad B23 SC Portimonense bimbingan Rolao Preto ini turut terpaksa bermain dengan 10 orang setelah Sergio Santos dikenakan kad merah pada minit ke-83.

Skuad senior utama SC Portimonense bertandang ke Stadium Maritimo hari ini untuk menentang CS Maritimo Madeira pada hari perlawanan keempat Liga NOS Portugal 2020/2021.

Skuad Paulo Sergio ini sudah mengharungi tiga perlawanan dengan menghuni tempat ke-16 daripada saingan 18 pasukan Liga NOS selepas mengutip satu mata.

Mereka bermula dengan seri 1-1 dengan Pacos de Ferreira pada 21 September lalu namun dikalahkan Gil Vicente 1-0, enam hari kemudian dan Sporting CP 2-0, 4 Oktober lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here