Rakyat sayangkan Tanah Air, bukan muka-muka hipokrit kejar kuasa!

1
388

INI mesej daripada seorang kawan saya:

“Punyalah ramai orang Malaysia sekarang hilang kerja, ramai saja orang mencari kerja sebagai guard, tapi warga asing juga yang digaji. Nak berkomunikasi pun susah, rasa macam bercakap dengan dinding, tak ada respons, buat muka blur. Cakap English tak faham, cakap Melayu lagilah tak faham…”

Betul kata-kata beliau. Inilah masanya kerajaan mewajibkan (ulang: mewajibkan) majikan-majikan menggaji pekerja-pekerja tempatan dalam sektor kawalan keselamatan; kedai-kedai makanan, termasuk restoran-restoran mamak.

Janganlah bagi bagi alasan (ulang: alasan) pekerja-pekerja tempatan sebagai pemalas, berat tulang dan sebagai. Dalam 100 rakyat Malaysia, takkan 100 orang pemalas.

Jika mereka malas, siapakah budak-budak yang menjual jeruk mangga di persimpangan lampu-lampu isyarat, budak-budak e-hailing, budak-budak food panda dan grab. Siapakah mereka kalau bukan budak Melayu?

Orang Malaysia — Melayu, atau mana-mana anak negeri lain tidak malas, jika diberi peluang.

Alasan untuk menggaji pekerja-pekerja asing ialah untuk membayar upah yang sangat rendah bagi mengaut untung besar.

Tiadakah pekerja-pekerja tempatan mahu bekerja di ladang-ladang jika gaji mereka setimpal dengan undang-undang buruh negara — ada caruman KWSP, Perkeso atau pun potongan untuk mengerjakan haji.

Jangan lagi bagi alasan. Berapa ramai anak-anak muda kita dari Sabah, Kelantan, Kedah dan negeri-negeri tercorot yang lain yang dahagakan pekerjaan. Mereka boleh menjadi pengawal keselamatan yang hebat.

Pernah ada menteri dari Sabah mengutarakan persoalan ini, tetapi ia ditutupmatakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Mungkin bawa masuk buruh dari Pakistan lebih menguntungkan tembolok mereka — dan anak-anak cucu mereka?

Sudahlah. Zaman korupsi begitu sudah berlalu. Kerajaan dan agensi-agensi pelaksana mulai sekarang harus bersikap profesional demi kemajuan negara ini.

Negara akan terus mundur jika kita terus melayani kerenah orang-orang politik, pegawai-pegawai kerajaan dan mafia-mafia yang berkepentingan.

Mereka inilah yang sering gilakan jawatan dan bertelagah sesama mereka untuk dapatkan kuasa.

Rakyat sudah muak dengan permainan itu. Rakyat lebih sayangkan Tanah Air ini.

— BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here