Saudi import jurulatih sepak takraw Malaysia?

0
509
ABDUL HALIM KADER

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

PELUANG keemasan terhidang buat jurulatih-jurulatih sepak takraw berpengalaman di Malaysia mahupun Singapura dan Indonesia.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, khidmat, kepakaran dan pengalaman mereka bakal amat ditagih Arab Saudi yang kini mahu melobi sebagai tuan rumah Sukan Asia 2030.

Berita gembira ini umum Abdul Halim Kader, “merupakan peluang keemasan buat para jurulatih negara-negara Islam handalan sepak takraw di Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam membantu membangunkan sukan sepak takraw di Arab Saudi.

“Apabila berjaya menjadi hos Sukan Asia Ke-21 nanti, sudah pasti negara Asia Barat yang kaya dengan minyak ini turut berminat mempunyai pasukan yang bertanding dalam sepak takraw temasya empat tahun sekali itu.

“Justeru khidmat kepakaran sepak takraw mereka boleh dieksport ke sana dan sebagai permulaannya, mungkin secara jangka pendek antara empat hingga enam bulan,” kata Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) ini.

Arab Saudi berpeluang menjadi negara keempat Asia Barat yang menceburi sepak takraw selepas Iran, Oman dan Iraq setakat ini yang beberapa kali beraksi dalam Sukan Asia, Sukan Pantai Asia dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand.

“Istaf boleh menggilirkan tugas jurulatih-jurulatih import Arab Saudi dari tiga negara Islam Asia Tenggara itu. Mungkin khidmat mereka seterusnya boleh ditawarkan dengan kontrak antara setahun hingga tiga tahun.

“Butiran lanjut kontrak seperti kadar gaji atau elaun bulanan, insurans kesihatan, penginapan, penerbangan dan lain-lain akan dibincangkan dengan badan induk sukan Arab Saudi,” katanya kepada BebasNews.

Sebagai langkah awal kata Halim, beliau akan melakukan kunjungan hormat terhadap Duta Arab Saudi di Singapura, Saad Saleh I. Alsaleh dalam minggu depan.

“Dalam kunjungan itu, Istaf akan cuba sarankan penubuhan pasukan dan persatuan sepak takraw Arab Saudi serta mewujudkan kem-kem musim panas bagi latihan dan demonstrasi sukan ini di sekolah dan institusi pengajian tinggi di Riyadh,” katanya.

Sepak takraw mula dipertandingkan dalam Sukan Asia 1990 di Beijing, China dengan menawarkan dua pingat emas yang dibolot Malaysia selepas menewaskan Thailand 2-1 (regu berpasukan) dan 2-0 (antara regu).

Temasya edisi ke-18 di Jakarta-Palembang, dua tahun lalu, menyaksikan Malaysia dan Indonesia masing-masing merangkul emas antara regu dan kuadran lelaki tanpa penyertaan kuasa utama, Thailand.

Sukan Asia 2022 akan dilangsungkan di Hangzhou, China manakala 2026 di Nagoya, Jepun.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here