Gangguan bekalan air dijangka pulih 2 petang Selasa ini

0
695
FOTO: Aziz A. Shariff

KUALA LUMPUR — Gangguan bekalan air tidak berjadual di 686 kawasan terjejas semalam, akan pulih sepenuhnya pada 2 petang, Selasa ini (20 Okt) secara berperingkat.

Ketua Komunikasi Korporat  Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata gangguan bekalan air di 241 kawasan terjejas di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor akan pulih sepenuhnya pada 2 petang esok.

“Bagi 445 kawasan lagi pada 20 Okt (Selasa ini) pada waktu yang sama. Ia susulan pengoperasian semula Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pagi ini dan bekalan air telah diagihkan ke sistem agihan bekalan air pada 12 tengah hari tadi.

“Oleh itu, Air Selangor memohon kerjasama pengguna agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di semua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pemulihan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gangguan bekalan air tidak berjadual yang bermula 9 malam semalam, berikutan henti tugas separa LRA SSP1, bagi membolehkan kerja pembaikan paip bocor yang menyalurkan air terawat dilakukan.

Elina berkata pihaknya telah menggerakkan 88 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan terjejas.

Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam disediakan semasa tempoh pemulihan seperti yang disenaraikan di www.airselangor.com dan dinasihatkan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika berbuat demikian.

Pengguna boleh mengetahui status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

— BERNAMA 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here