[SELAK] Demokrasi ‘beracun’ rosakkan solidariti

1
315

Atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, rakyat diberi kebebasan bersuara. Namun jangan meracuni demokrasi itu, bimbang apabila bersuara terhambur racun berbisa sehingga ramai yang terkena kesannya dan cuba melawan racun itu dengan pelbagai cara.

TAHNIAH kepada penganjur Perhimpunan Solidariti Kedamaian terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof. Perhimpunan membawa mesej bahawa rakyat Malaysia mahukan keamanan dan menolak sebarang bentuk keganasan. Perhimpunan itu susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac lalu. Walaupun jumlah yang hadir dengan pelbagai angka tetapi cukuplah kehadiran itu dapat memberi mesej seperti yang diharapkan. Jumlah kehadiran tidak penting. Jika sekadar enam atau tujuh orang yang ambil bahagian, mesej boleh sampai lebih-lebih lagi jika pesertanya kreatif menggunakan kaedah provokasi bagi menarik perhatian.

Tidak perlu perhimpunan ramai seperti era Mujahid dan rakan-rakan berbaju kuning berhimpun, yang ketika itu tidak bergelar menteri dan sanggup tidur atas jalan untuk menyampaikan mesej. Maka tidak perlulah mana-mana pihak mempertikai jumlah kehadiran itu dengan membandingkan kehadiran manusia yang turun suatu masa dulu ke kawasan Sogo Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Dataran Merdeka. Suasana dulu tidak sama seperti hari ini. Kenapa begitu? Adakah kerana tujuannya tidak mampu menarik perhatian ramai? Hakikatnya watak-watak utama yang menganjurkan perhimpunan solidariti itu adalah mereka yang pernah bersama perhimpunan pada masa lalu yang berjaya menarik puluhan ribu manusia. Malangnya, kali ini, atas nama solidariti, kebanyakan watak utama dahulu juga tidak nampak muka. Mungkin mereka sibuk kerana sudah berjawatan.

Pada masa yang sama matlamat perhimpunan juga berbeza. Dulu berkait dengan kuasa dan ‘menjatuhkan’ kerajaan tetapi hari ini untuk perpaduan. Mungkin kehadiran tiga empat orang sudah cukup. Mujahid mewakili masyarakat pelbagai agama dan P. Waythamoorthy pula mewakili penduduk pelbagai kaum. Sudah cukup kuat untuk menyampaikan mesej. Mungkin juga, sudah lumrah, program anjuran kerajaan tidak mendapat sambutan hebat apatah lagi tidak ada ucapan yang ‘membakar’ serta tindak tanduk luar biasa yang selalu dipersembah walaupun mereka sedar tindakan seumpama itu tidak wajar. Apa pun itulah demokrasi. Perhimpunan seumpama itu tidak dapat disekat. Tanpa permit pun ada yang ‘langgar’.

Mujurlah tidak ada sebarang insiden buruk sebaliknya mereka yang berpeluang berucap dapat menyampaikan mesej masing-masing. Syukurlah perhimpunan itu aman dan mereka yang hadir pula lebih sopan berbanding pada masa lalu. Mujurlah tidak ramai yang bersuara lantang di luar sana yang sering menghentam menteri-menteri tertentu tidak hadir. Bimbang juga jika ada yang cuba melepaskan geram dan kebencian bertindak di luar batasan walaupun sekadar membaling telur. Elok tidak datang jika tahap kesabaran terbatas lebih-lebih lagi yang panas baran. Tidak bermakna yang tidak hadir itu tidak menyokong sebaliknya mungkin dapat mengelakkan sesuatu yang tidak diingini. Tidak ada makna jika perhimpunan solidariti bertukar kepada perpecahan jika ada yang melepaskan kemarahan mereka di situ. Apa pun diharapkan rakyat dapat menerima mesej solidariti.

Harapan rakyat agar seruan solidariti tidak tinggal slogan semasa di pentas perhimpunan sahaja. Cakap tidak serupa bikin. Semua peringkat masyarakat terutama pemimpin perlu bertindak mengawal tutur kata serta tindak-tanduk mereka supaya tidak menimbulkan perasaan marah dan kebencian dalam kalangan masyarakat. Jangan mereka pula menjadi batu api, atau lontar batu sembunyi tangan. Atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, rakyat diberi kebebasan bersuara. Namun jangan meracuni demokrasi itu, bimbang apabila bersuara terhambur racun berbisa sehingga ramai yang terkena kesannya dan cuba melawan racun itu dengan pelbagai cara. Jangan manis kata pada bibir tetapi di hati lain bicara. Jangan mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Jangan seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Perlembagaan yang berteraskan perpaduan serta keharmonian masyarakat perlu dipertahan. Demokrasi mengizinkan kebebasan bersuara. Rakyat bebas menyatakan pandangan, pendapat atau ‘bersuara’ melalui pelbagai saluran tetapi ada batas atau hadnya. Elak sebarang provokasi yang akan meracuni masyarakat dan menimbulkan kebencian sehingga akhirnya merosakkan perpaduan. Perasaan benci, marah boleh menjurus kepada perpecahan. Keadaan hari ini adalah lebih kritikal kerana kebebasan itu disalahgunakan bukan sahaja melalui ucapan atau kata-kata yang biadab, menghina, tidak sopan di khalayak tetapi juga melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, WhatsApp dan pelbagai lagi. Ia bukan sahaja boleh menjadi racun tanpa penawar tetapi juga bom jangka.

Ramai yang kononnya hebat mempertahan hak demokrasi dan kebebasan bersuara ini tetapi gagal memahami kesan akibat kebebasan melampau. Adakah provokasi melalui pelbagai cara itu satu kebebasan yang boleh diizinkan? Akhirnya ucapan atau kata-kata mereka menyebabkan sesuatu agama, kaum atau pihak tertentu rasa terhina sehingga mencabar kesabaran yang akhirnya menimbulkan kemarahan dan kebencian. Amat malang jika ada pemimpin yang sengaja menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat dengan mengaitkan serangan pengganas di masjid di New Zealand dengan ‘keadaan’ di negara ini. Begitu juga sikap pemimpin yang seolah-olah memberi amaran bahawa kerjasama politik UMNO dan Pas sebagai sesuatu yang ‘berbahaya’ terhadap negara. Amat malang apabila perpaduan seperti itu dilihat sebagai ancaman.

Begitu juga dengan sikap pemimpin yang memburukkan negara di luar negara. Ada yang menggunakan ‘kekebalan’ untuk bercakap apa sahaja termasuk menyakiti orang lain. Sikap seumpama ini perlu dikekang. Kebebasan bersuara atau memberi pendapat biarlah tidak menyakiti atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan parti politik. Kawallah kekebalan sebagai ahli politik ketika berucap atau mengeluarkan kenyataan. Jika tidak, mereka dengan secara sengaja boleh menyebarkan kebencian dan kemarahan. Jangan timbulkan kebencian masyarakat. Jangan berperanan sebagai ‘batu api’ yang akan meracuni fikiran rakyat. Ingat juga pesan orang lama ‘Sarang tebuan jangan dijolok’.

— BebasNews.my

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here