Legenda bola sepak Mohd Shah meninggal dunia

2
1296
WAJAH dan keadaan Mohd. Shah Alias Mohd. Norbit pada Julai lalu. - Foto Yakeb.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

LEGENDA bola sepak Malaysia yang pernah beraksi menentang Arsenal pada 1975, Allahyarham Mohd. Shah Alias Mohd. Norbit meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang ini selepas berkeadaan tenat akibat serangan angin ahmar (strok) sejak sebulan lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 69 tahun dengan meninggalkan seorang balu, Aini Muhamed, 66, dan tiga anak, Mohd Nazri, Mohd Nizam dan Mohd. Nizwan.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, Mohd. Shah yang sebelum ini terlantar di katil kediamannya, Taman Desa Keramat, Ulu Kelang, Selangor, juga menghidapi pelbagai penyakit kritikal lain seperti kencing manis dan darah tinggi.

NOORUL Ariffin Abdul Majeed (kanan) menziarahi Mohd. Shah Alias Mohd. Norbit di kediamannya, Taman Desa Keramat, Ampang. hari ini. – Foto Yakeb.

“Makan, minum dan ubat-ubatan buatnya juga hanya disalurkan menerusi tiub selain perlu memakai lampin pakai buang yang turut kerap ditukar,” kata beliau yang sebelum ini menziarahi Mohd. Shah di kediamannya.

Yakeb dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain telah menghulurkan bantuan bagi meringankan kesempitan hidup pemenang pingat perak Sukan SEAP Bangkok 1975 ini yang berupa wang tunai, katil dan tilam khas.

MOHD. Nizam Mohd. Shah Alias (kiri) dan ibunya, Aini Muhamed menerima sumbangan wang tunai Yakeb daripada Noorul Ariffin Abdul Majeed. – Foto Yakeb.

Anak keduanya, Mohd. Nizam Mohd. Shah Alias berkata, “sudah sebulan bapa saya diserang angin ahmar malah sejak seminggu lalu, keadaan kesihatannya didapati semakin tenat.”

Mohd. Shah Alias, 69, beraksi sepasukan dengan Datuk Namat Abdullah, Datuk Santokh Singh, Allahyarham Isa Bakar dan mendiang Wong Choon Wah yang menewaskan Arsenal, kelab Divisyen Satu England 2-0 hasil jaringan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 11 Mei 1975.

Lain-lain tonggak kesebelasan Malaysia di bawah bimbingan mendiang Datuk M. Chandran dalam perlawanan persahabatan itu ialah mendiang Datuk R. Arumugam, Datuk Soh Chin Aun, Vincent Clement Thambyrajah, Datuk Shukor Saleh dan Harun Jusoh.

Skuad negara juga diikat 1-1 oleh The Gunners kendalian mendiang Bertie Mee dan dibarisi bintang England seperti Brian Kidd, John Radford dan Peter Storey selepas jaringan Isa di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dalam perlawanan persahabatan kedua, 13 Mei 1975.

Serba boleh sebagai perantara mahupun sayap, Mohd. Shah Alias juga membantu skuad negara muncul naib juara Pestabola Merdeka dan meraih pingat perak Sukan SEAP 1975 setelah ditewaskan Korea Selatan 1-0 dan Thailand 2-1 dalam perlawanan akhir.

MOHD. Shah Alias Mohd. Norbit (depan, lima dari kiri) dalam pasukan Malaysia menentang Arsenal pada 1975. – Foto Dunia Sukan Utusan.

Dia yang lahir di Kuala Kangsar, Perak pada 25 November 1951, menyarung jersi Malaysia dari 1972 hingga 1976 selain menyerlah bersama Selangor selaku juara Piala Malaysia lima kali pada 1971, 1972, 1973, 1975 dan 1976.

Dia juga pernah menjadi penolong jurulatih Selangor kepada Datuk Khaidir Buyong sehingga 2000 sebelum melatih Melaka dari 2001 hingga 2003, skuad wanita Malaysia (2006-2008), Angkatan Tentera dan SPA mulai 2013.

Abangnya, Mohd. Zulkifli juga merupakan bekas jagoan Selangor dan Malaysia pada era 60-an hingga 70-an selain seorang lagi saudara mereka, Mohd. Jamaluddin Akhir, perantara Selangor era 80-an.

-BebasNews

Please follow and like us:

2 COMMENTS

  1. Assalamualaikum. Betul ke berita yang saya terima mengatakan beliau telah meninggal dunia sebentar tadi?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here