Filem Mael Totey The Movie temui penonton, 22 Oktober ini

0
6882
Filem pertama arahan Syahmi Sazli, MaelTotey The Movie pasti menghiburkan anda.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEBELUM ini kita sering dihiburkan dengan video pendek lakonan spontan Syahmi Sazli, Yoe Parey dan Asif Suhaimi di saluran YouTube. Setakat Oktober ini, semua 24 episod drama spontan tersebut telah mencatat 94.74 juta tontonan selepas dimuat naik sejak Jun tahun lalu.

Gelagat mereka yang bersahaja dengan menggunakan dialek Kelantan dalam menjayakan karakter yang dibawa ternyata memberi kelainan buat tontonan penonton.

Kini mereka bertiga akan muncul pula dalam filem.

Bermula di YouTube kini mereka melangkah ke filem pula.

Sokongan peminat yang sering menantikan konten baharu daripada mereka, mendorong Syahmi Sazli, 23, tampil dengan filem arahan pertamanya, Mael Totey The Movie (MTTM).

Filem MTTM mengangkat genre drama komedi dan akan menemui penonton di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 mulai 22 Oktober ini.

Gelaran ‘totey’ sememangnya tidak asing dalam kalangan masyarakat Kelantan. Watak utama yang dibawa oleh Syahmi di dalam filem itu bakal menterjemahkan gelaran tersebut menerusi karakternya.

Turut membintangi filem adalah selebriti YouTube Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi.

Mael Totey The Movie kisah Mael yang lurus bendul telah jatuh cinta dengan guru yang mengajarnya bahasa Inggeris.

Selain berlakon, Syahmi juga bertindak sebagai pengarah dan penerbit untuk filem MTTM yang diterbitkan oleh Syahmi Sazli Production Sdn. Bhd.

“Sebelum ini saya ada terlibat sebagai pelakon dalam sebuah filem. Bermula dari situ, rata-rata peminat memberi galakan untuk hasilkan filem saya sendiri. Kebetulan memang sudah ada idea asal Mael Totey tetapi ia untuk drama bersiri bagi tayangan di televisyen.

“Selepas berbincang, akhirnya karya ini diangkat menjadi filem. Perasaan saya sangat gementar kerana ini adalah kali pertama mengarahkan filem dan berlakon sekali.

Lakonan santai Yoe Parey dan Asif Suhaimi pasti menghiburkan penonton.

“Dalam pada itu, saya juga gembira kerana berpeluang untuk bekerjsama lebih rapat dengan barisan kru berpengalaman luas dalam penghasilan filem.

“Semoga filem pertama arahan saya ini dapat diterima penonton dan mampu menjadi pemangkin buat saya bersama tenaga produksi untuk terus berkarya,” kata Syahmi penuh harapan.

Manakala Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sebelum ini peminat hanya dapat menyaksikan drama spontan lakonan Syahmi Sazli, Yoe Parey dan Asif hanya di platform media sosial dengan durasi video kurang 20 minit, tetapi kali ini peminat boleh menonton mereka lebih lama dengan kualiti filem.

“Ini adalah sesuatu yang baharu buat industri perfileman di mana Youtuber beralih ke skrin yang lebih besar seperti filem. Kreativiti Syahmi dalam menyampaikan penceritaan membuatkan penonton sering menanti karya seterusnya daripada beliau.

“Keterujaan tersebut bukan sahaja dapat dilihat menerusi respon daripada video pendek yang dihasilkan sebelum ini, tetapi juga menerusi video teaser filem MTTM yang telah dikongsikan di platform media sosial pada minggu lalu.

Syahmi Sazli tekun bekerja sebagai pengarah selain berlakon dalam filem Mael Totey The Movie.

“Video tersebut telah meraih lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh 24 jam. Ramai peminat dan penonton meluahkan rasa teruja. Kami harap penonton dapat berhibur dengan MTTM, lebih-lebih lagi dapat mengisi masa buat mereka yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” kata Raja Jastina.

MTTM mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya. Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya.

Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Ingin mengetahui apa yang akan terjadi seterusnya, saksikan filem MTTM yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 mulai 22 Oktober ini.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (dua hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here