Covid mengganas angkara manusia menganiaya diri sendiri

FOTO: MCCF.

Oleh Hashim Yaacob (FRCPath) dan Adi Sukma (LLM)

PADA 30 Mei 2020, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa Malaysia berada dalam “final recovery phase” (fasa terakhir pemulihan) daripada wabak Covid 19.

Sebelum PKP pada pertengahan Mac dan sebelumnya, kadar jangkitan (RO) adalah tinggi di paras 3.55.

Ini bermakna bahawa setiap pesakit Covid-19 boleh menjangkiti seramai 3.55 orang.

Setelah PKP dijalankan, RO turun ke 0.6 dan seterusnya setelah PKPB dijalankan pula, RO turun ke 0.3.

Ini bermakna bahawa pada paras ini, setiap pesakit Covid-19 hanya mungkin boleh menjangkiti 0.3 orang sahaja.

Maka rakyat pun berasa lega kerana berjaya melepasi paras kritikal.

Dr Noor Hisham dan Malaysia diberi penghormatan dan pujian dunia kerana berjaya dengan cemerlang membendung wabak ini.

Hanya selang dua bulan kemudian pada 23 Julai 2020, Dr Noor Hisham menyatakan bahawa Malaysia bakal berdepan peningkatan mendadak Covid dalam masa terdekat.

Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa RO telah meningkat ke paras 1.36 berbanding dengan 0.3 pada tiga minggu sebelumnya!

Pada 9 Julai kes aktif adalah sebanyak 63 sahaja, tetapi pada 23 Julai kemudiannya sudah meningkat kepada 143!
Kata Dr Noor Hisham, kalau naik ke paras 1.6, rakyat akan berada dalam keadaan bahaya.

Benarlah kata Dr Noor Hisham bahawa kes Covid-19 akan bertambah secara mendadak.

Pada 18 Oktober 2020 negara mencatat sebanyak 871 kes baru. Kes harian yang paling tinggi dalam fasa pertama dulu pada 26 Mac 2020 ialah hanya 235 kes sahaja.

Pada masa itu kita telah hidup dengan ketakutan yang amat sangat.

Kini kita telah mempunyai empat kali jumlahnya!! Tidak lebih takutkah kita?

Mengapa dulu, dengan bilangan kes yang kurang, kerajaan mengenakan PKP, tetapi sekarang, dengan kes yang begitu banyak hanya PKPB saja dikenakan?

Kami percaya bahawa antara jawapannya ialah:

Pertama, rakyat telah diajar cara untuk menghindar jangkitan dengan bermacam SOP, di samping telah berpengalaman menghadapi jerih-perit bala Covid-19 ini.

Maka kerajaan berharap rakyat akan lebih tahu dan berazam kuat untuk mengelak dari dijangkiti.

Kedua, perlaksanaan PKP akan menyusahkan rakyat untuk mencari rezeki dan menunaikan kewajipan kehidupan seharian.

Ekonomi negara akan turut terjejas teruk.
Maka kerajaan memberi kelonggaran melalui PKPB, dengan harapan yang sama, iaitu rakyat akan tahu bagaimana untuk menangani pemerebakan wabak ini.

Tetapi al-Quran beberapa kali menyebut bahawa manusia akan menganiayai diri mereka sendiri (Al-Imran 135, An-Nisa 110).

Oleh yang demikian kami tidak hairan kalau manusia akan melupai untuk melakukan yang baik untuk diri sendiri dan mengabaikan kewajipan untuk melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19 kerana tidak mengamalkan SOP.

Kita lihat ramai yang pulang dari kawasan berisiko tinggi tidak dikuarantinkan.

Dalam perjumpaan dan mesyuarat, ada yang duduk tanpa jarak dan ada yang tidak memakai pelitup muka. Ini terjadi bukan hanya di kalangan rakyat marhain sahaja. Ada pemimpin yang serupa itu juga.

Perumpamaan Melayu tidak silap kalau yakin kepada bapa kencing berdiri, maka anak akan kencing berlari.

Walaupun di Kawasan Merah ada juga penduduk yang tidak perihatin mematuhi semua SOP atas kemahuan sendiri.

Dengan berbuat demikian, manusia tidak syak lagi menganiayai diri sendiri. Mereka ini bukan sahaja mengundang kecelakaan kepada diri tetapi kepada orang lain juga

Maka tak dapat tidak, kerana ada manusia yang degil dan bebal, kemungkinan bilangan kes Covid-19 akan bertambah
adalah sangat nyata.

Jika ini terjadi, manusia hanya boleh salahkan diri sendiri, kerana merekalah yang memganiayai diri sendiri.

Menangislah hingga air mata menjadi darah sekali pun, namun sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here