‘Muhyiddin patut fokus tangani Covid-19, bukan sogok bagi sokongan’

0
290

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng menasihatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sepatutnya menumpukan lebih perhatian dalam memperbaiki kegagalan kerajaannya menangani krisis Covid-19.

Bagaimanapun, Lim berkata Muhyiddin sebaliknya, lebih fokus dengan survival politiknya dengan menyogok ahli-ahli parlimen dengan jawatan-jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti jawatan kanan di Petronas bagi mendapatkan sokongan.

“Bahkan, mengumpan prospek jawatan menteri melalui rombakan kabinet. Masa dan usaha harus digunakan oleh perdana menteri untuk membetulkan kegagalan kerajaannya dalam krisis Covid-19.

“Perdana menteri harus menyatakan bahawa tidak ada rombakan kabinet dan menghentikan penawaran kedudukan dan jawatan politik secara tidak bermaruah dan tidak jujur ini.

“Marilah kita fokus untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, dan bukannya menggunakan retorik perkauman dan agama yang memecahbelahkan, untuk menyokong wira-wira barisan hadapan kita memenangi pertempuran melawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia, kes jangkitan harian di negara terus merekodkan angka yang tinggi di mana setakat tengah hari semalam 865 kes baru dilaporkan.

Ia menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 7,456 kes, manakala jumlah keseluruhan sebanyak 21,363 kes.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, tiada keperluan baginya untuk mengulas lanjut berhubung pendirian DAP dalam krisis politik yang berlaku kini kerana apa yang lebih penting adalah orang awam mahukan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kepentingan negara dan rakyat.

“Bukannya hanya untuk survival individu dan politik mereka sendiri,” katanya.

https://bit.ly/37nunec

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here