Keadaan perniagaan catat pemulihan sederhana pada suku ketiga – MIER

0
322

KUALA LUMPUR — Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) mencatatkan pemulihan sederhana sebanyak 25.3 mata kepada 86.3 mata pada suku ketiga 2020 berbanding penyusutan sebanyak 22.0 mata pada suku kedua sekali gus menunjukkan tahap keyakinan pengeluar bertambah kukuh.

Menurut Laporan Kaji Selidik Keadaan Perniagaan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bagi suku ketiga 2020, sentimen perniagaan bagaimanapun masih berhati-hati memandangkan indeks itu masih di bawah paras ambang sejak tujuh sukuan berturut-turut.

Berasaskan tahun ke tahun, indeks itu meningkat pada kadar yang menggalakkan iaitu 17.2 mata berbanding dengan susut 39.7 mata pada tahun sebelum ini.

“Ini merupakan petanda baik bagi Malaysia yang menunjukkan negara dapat pulih secara perlahan-lahan daripada kesan yang dibawa pandemik COVID-19.

“Ia seiring dengan langkah aktif kerajaan bagi pasaran, menerusi program di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA),” menurut laporan itu.

Laporan itu juga mendapati berbanding dengan suku sebelum ini, kebanyakan komponen BCI menunjukkan peningkatan ketara, dipacu oleh kenaikan permintaan domestik serta permintaan import yang mendorong jualan.

“Susulan itu, penggunaan pengeluaran dan kapasiti mencatatkan peningkatan. Pelaburan modal juga mencatatkan kenaikan marginal dan ini mungkin didorong oleh prospek keadaan perniagaan lebih tinggi dalam jangka terdekat,” kata laporan itu.

Ia berkata unjuran positif adalah dijangkakan pada suku akan datang memandangkan Indeks Jangkaan (EI) telah meningkat dengan progresif sebanyak 15.2 mata kepada 99.7 mata.

“Pergerakan EI yang menaik mungkin disokong oleh bacaan positif bagi jualan domestik dan eksport, jumlah pengeluaran dan pekerjaan yang dijangkakan berbanding pada suku sebelum ini.

“Pengeluar kekal yakin dengan pemulihan ekonomi bagi suku akan datang. Secara khususnya, pengeluaran yang dijangkakan telah meningkat sebanyak 13.1 mata daripada suku sebelum ini. Begitu juga dengan jualan eksport yang dijangkakan, ia naik sedikit sebanyak 2.1 mata daripada suku sebelum ini,” menurut laporan itu.

Ia juga berkata sejumlah besar pengeluar (60 peratus) mungkin mengekalkan warga kerja mereka pada suku keempat 2020 dan lebih separuh daripada mereka (51 peratus) merancang untuk mengekalkan harga jualan domestik semasa.

“Justeru, keadaan perniagaan dijangkakan lebih baik bagi tempoh tiga bulan akan datang berbanding suku ini,” menurut laporan itu.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here