Trio Norbit julang Selangor jarang beraksi serentak

0
585
ZULKIFLI mengangkat tangan (tiga dari kiri) dan Mohd. Shah (kanan) meraikan kejayaan Selangor juara Piala Malaysia 1973.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

HANYA segelintir perlawanan Piala Malaysia era 70-an yang dapat menyaksikan trio Norbit bersaudara beraksi serentak dalam kesebelasan utama Selangor.

Seingat Mohd. Jamaluddin Akhir Mohd. Norbit, dia dan abang-abangnya, Zulkifli dan Allahyarham Mohd. Shah Alias yang kembali ke rahmatullah, Isnin lalu, turut hampir melakukannya dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1973.

“Sayangnya saya tercedera pada urat pelipat lutut tiga hari sebelum final itu. Terpaksalah jurulatih, Allahyarham Abdullah Yeop Noordin ketepikan saya daripada kesebelasan utama Selangor yang muncul juara mengalahkan Terengganu 2-1,” katanya.

Ketika itu disebabkan hanya kesebelasan utama termasuk Zulkifli dan Shah serta dua pemain simpanan yang layak diberikan pingat juara Piala Malaysia, katanya, “saya pun tidak merasalah pingatnya. Bukan senang juga hendak masuk senarai penerimanya.”

WAJAH terkini Jamaluddin Norbit.

Selangor yang diketuai mendiang Datuk M. Chandran menang menerusi jaringan Khaidir Buyong dan Mazlan Harun di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur manakala Terengganu diperkuatkan Abdul Rahman Ibrahim (bekas jurulatih negara), Harun Jusoh dan adiknya, Allahyarham Yahya.

Jamaluddin, 67, ialah bekas perantara Selangor dari 1973, 1979 hingga 1984 malah sempat menyarung jersi Malaysia B dalam Pestabola Merdeka 1979.

Shah yang antara pencapaiannya muncul naib juara Pestabola Merdeka dan Sukan SEAP Bangkok 1975 bersama skuad negara, meninggal dunia di kediamannya di Ampang, Hulu Klang pada usia 69 tahun akibat diserang penyakit angin ahmar sejak sebulan lalu.

JAMALUDDIN (depan, tiga dari kiri), anggota skuad Asian All Stars menentang sebuah kelab Brazil di Stadium Merdeka. – Foto Dunia Sukan Utusan.

“Kebanyakan perlawanan bersama Selangor, sama ada saya dan abang Zulkifli dalam barisan utama atau Allahyarham dan saya sahaja atau mereka berdua. Sangat jarang kami dapat main serentak dalam Selangor sehinggalah menyertai kelab UMNO Selangor.

“UMNO Selangor jadi juara Piala FAM 1974 yang tahun itu ditukar kepada antara kelab yang pada mulanya sebuah pertandingan antara negeri secara kalah singkir atau kini mirip Piala FA,” katanya kepada BebasNews.

Shah memenangi Piala Malaysia lima kali (1971, 1972, 1973, 1975 dan 1976) namun akui Jamaluddin, “saya pernah tarik diri dan ‘menghilang’ daripada pasukan Selangor tiga tahun setengah dari 1975 hingga 1978 kerana kerap tidak bersependapat dengan jurulatih.

“Karier bola sepak saya ketika itu hanya berkisar kepada Piala FAM bersama kelab UMNO Selangor dan kemudian PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau kini jadi Selangor 2).

TRIO Norbit bersaudara (dari kiri) Zulkifli, Jamaluddin dan Mohd. Shah. – Foto Dunia Sukan Utusan.

“Tahun 1979 selepas dipujuk bermain semula untuk Selangor, saya kembali dan menang Piala Malaysia empat kali tahun sama selain 1981, 1982 dan 1984 (mengalahkan Singapura, Terengganu dan Pahang),” kata anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini.

Dalam akhir 70-an dan awal 80-an seiring dengan era keunggulan Selangor itu, Jamaluddin dan Reduan Abdullah turut kerap dicanangkan media tempatan sebagai gandingan tengah terbaik negara tetapi mengapa mereka tidak disatukan dalam skuad negara?

“Saya pernah disenaraihitamkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) hampir tiga tahun hanya kerana pegawai tertentu enggan bertolak ansur dengan sedikit permintaan saya untuk menggunakan budi bicara apabila dipanggil berlatih bagi Kejohanan Ulang Tahun Jakarta.

“Ada satu lagi kesnya, hanya disebabkan berambut panjang dan enggan memotongnya, saya digugurkan hinggalah atas pujukan seorang pegawai atasan FAM tertentu supaya saya dapat bermain untuk pasukan negara, saya beralah dan akur menyertai Pestabola Merdeka 1979.

“Pegawai itu menyampaikan kepada kakitangannya yang meminta saya, sarunglah jersi negara walaupun dalam sekali seumur hidup kamu. Jadi Itulah sedikit penampilan antarabangsa saya menentang Korea Selatan, Thailand dan Burma,” katanya.

Biarpun Malaysia B jelasnya, terdapat begitu ramai pemain handalan dari negeri-negeri ketika itu hingga menyukarkan jurulatih negara memilih mereka untuk dipertaruhkan ke kejohanan antarabangsa lalu terpaksa dibentuk satu lagi selain skuad utama Malaysia.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here