Dapur Gerak Khas, detektif Lingam

1
17461
Gerai Dapur Gerak Khas yang beroperasi di Food Court Taman Kosas, Ampang diusahakan oleh Deen Maidin bersama anak-anaknya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TAK perlu diperkenalkan lagi kerana orang ramai lebih mengenali Shamsuddin Maidin atau Deen Maidin, 55, sebagai Detektif Lingam, gara-gara wataknya dalam drama kepolisian, Gerak Khas.

Malah kerana penampilannya dalam drama tersebut jugalah, setiap kali raya, Deen akan dicari bukan untuk ditawar berlakon tapi untuk membeli lemang Gerak Khas yang dijualnya sejak tujuh tahun lalu.

Kali ini, Deen bukan setakat menjual lemang tapi beliau juga sudah ada gerai makan iaitu Dapur Gerak Khas yang beroperasi di Food Court Taman Kosas, Ampang, sejak 19 September lalu.

Yong Tau Foo yang dijual di Dapur Gerak Khas murah berbanding di kedai lain.

“Sebenarnya dunia perniagaan bukan bidang baharu bagi saya. Sebelum bekerja dalam industri filem, saya berniaga yong tau foo dengan bapa di pasar malam.

“Kami berniaga di pasar malam Ampang, Lembah Jaya, Cheras, Setapak dan Kajang. Bila dah ada pengalaman berniaga dan dapat tawaran untuk buka kedai makan di medan selera ini, saya pun terima.

“Apa yang saya jual di sini adalah sambungan daripada jualan masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari tu. Masa tu saya jual kambing bakar dan pepes secara delivery, alhamdulillah dapat sambutan daripada rakan artis.

Selain kambing bakar, ada juga ikan bakar yang sedap dicecah air asam.

“Bila tengok sambutan daripada pelanggan menggalakkan, itu yang buat saya fikir kenapa tidak buka gerai Gerak Khas yang boleh buat makanan yang sama dan buat deliveray sekali,” cerita Deen sewaktu ditemui di gerainya baru-baru ini.

Dapur Gerak Khas yang dibuka pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam (sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dikendalikan oleh Deen dengan bantuan tiga orang anaknya.

Dapur Gerak Khas yang terletak di hujung gerai itu menyajikan menu seperti pepes ayam, kambing bakar, ikan bakar, tauhu bakar, yong tau foo dan chicken boxing.

“Saya tak ada masalah dengan tenaga kerja kerana ketiga-tiga anak saya berminat untuk membantu saya menjalankan perniagaan ini. Anak sulung, Umar Farouq, 30, kerja di pejabat Zakat, tapi dia suka memasak.

“Yang nombor dua, Umeir Fazeel, 25, belajar Pentadbiran Perniagaan tapi dia berniaga shawarma, roti john dan air minuman gelas besar. Dia niaga atas talian. Anak nombor tiga, Umairah Fairuz, 20, belajar kulinari, dia masak kuih dan sebagainya.

“Ada enam jenis menu dan kami buat persiapan sama-sama, saya akan beritahu mereka apa yang perlu dan kemudian cari barang tersebut,” jelasnya yang mempunyai seorang cucu, Luthfia Nur Medina.

Deen yang membuka gerai makan sebagai persediaan sebelum pencen berkata, harga dikenakan di gerainya tidak membebankan pelanggan.

Sebelum makanan yang ditempah sampai boleh makan pepes dulu.

Satu set kambing bakar (siap perap) dingin beku dijual pada harga RM50 sekilo dan pada kadar RM60, daging itu siap dimasak. Manakala pada harga RM75, pelanggan akan dibekalkan daging bakar, sup cendawan, salad kubis (coleslaw) dan kentang goreng.

Bila ditanya tentang penggunaan nama Gerak Khas untuk gerainya, suami kepada Haslina Laili memberitahu, beliau tidak ada masalah kerana mendapat izin daripada Datuk Yusof Haslam.

“Tak ada masalah menggunakan nama Gerak Khas setakat ini. Apa-apa saya berkomunikasi dulu dengan Datuk Yusof. Masa saya buat lemang Gerak Khas dulu, dia cakap mudah saja. Camni la Deen, Gerak Khas ni besar namanya. Kalau boleh biar sedap. Saya buat dan suruh dia rasa dan dia kata sedap, barulah saya jual.

“Sekarang ini tahulah orang boleh uar-uarkan bila-bila masa saja, kata tak sedap dan macam-macam sebab itu saya kena jaga nama Gerak Khas ini dari segi rasa. Kita nak buat biar nampak kemas,” kata Deen yang bakal pencen selepas 36 tahun bekerja di syarikat abang sepupunya.

Biarpun sibuk mengendalikan gerai Dapur Gerak Khas, seandainya ada tawaran berlakon, Deen tidak akan menolak. Bagi Deen, beliau mampu melakonkan apa saja watak, termasuk antagonis.

Jelas Deen, beliau tidak terikat dengan Skop Production dan bebas bekerja dengan siapa saja, jika jadualnya tidak bertindih.

Bagi yang ingin merasai menu yang ditawarkan di Dapur Gerak Khas bolehlah menempah menerusi talian 012-2227463 atau layari Instagram @dapurgerakkhas.

-BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here