Guna teknologi ‘remote sensing’ bukannya dron tangani masalah sumber air tercemar

0
312

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Masalah pencemaran sumber air yang berlaku di Selangor hingga menyebabkan bekalannya terganggu di Lembah Klang, bukanlah mudah dikesan dan dipantau dengan menggunakan dron semata-mata.
Kaedah terbaik yang sepatutnya dilakukan oleh pihak berkuasa adalah mempertingkatkan kualiti pemantauan dengan turut menggunakan teknologi secara pengesanan jarak jauh atau dikenali dengan terma ‘remote sensing’ dan imej satelit direkod untuk mengesan pencemaran.
Menurut Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar yang merupakan individu Asia pertama dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat kerana sumbangan kepada kejuruteraan awam oleh Universiti Stuttgart, Jerman, teknologi tersebut mampu memantau pencemaran sungai atau sumber air dengan lebih sistematik berdasarkan data berkala yang dikumpul dari semasa ke semasa.
“Teknologi remote sensing dengan gambar-gambar satelit dirakam adalah pemantauan yang terbaik kerana mampu mengesan keadaan permukaan air sama ada terdapat bahan asing seperti pelarut, minyak hitam mahupun bahan kimia. Pemantauan imej satelit secara harian dapat membantu pihak berkuasa membuat pengesanan jika berlaku pencemaran.
“Perubahan air melibatkan warna dan bahan berkumpul di permukaan air dapat dikesan oleh satelit yang membuat pengawasan dari masa ke semasa,”kata beliau ketika diminta mengulas langkah yang diambil Kerajaan Negeri Selangor untuk memantau pencemaran sungai dengan menggunakan khidmat dron yang berharga RM2 juta.
Beliau menambah, masalah pencemaran air akan terus berlaku disebabkan faktor kemanusiaan itu sendiri walaupun kita memiliki teknologi canggih untuk memantau pencemaran di kawasan sumber air.

“Kita perlu ingat, yang membuat pencemaran adalah manusia dan yang memantau sama ada pencemaran berlaku atau tidak adalah manusia.
“Jika menggunakan dron, mampukah petugas memantau di waktu malam setiap masa, di kawasan yang disyaki berlaku pembuangan sisa yang tidak mesra alam dan mengandungi bahan yang berbahaya.
“Jika ada teknologi baguslah, namun jika pihak yang mengawal dron terdedah dengan masalah integriti. Adakah beliau akan melaporkan pencemaran sungai atau sumber air yang tepat,” kata Sahol Hamid.
Mengulas lanjut isu pencemaran air, beliau berharap semua pihak berkuasa yang terlibat dengan sumber air untuk duduk semeja berbincang.
Ujarnya, jika pihak berkepentingan tidak mahu menggunakan teknologi canggih seperti satelit, maka perkasakanlah integriti atau faktor kemanusiaan dalam diri penguatkuasa jabatan masing-masing.
“Isunya, pencemaran sungai tidak akan berlaku jika semua pihak berkuasa bekerja memeriksa setiap longkang dan saluran punca bahan pencemaran atau efluen itu dialirkan. Justeru, langkah menggunakan dron oleh agensi Kerajaan Negeri Selangor amat sesuai untuk memantau pembuangan sisa pepejal yang mencemar sumber air dari laluan-laluan tersebut,”katanya.

Beliau menambah, penggunaan dron hanya akan berkesan setelah ‘jenayah’ dilakukan bukan semasa ia sedang berlaku.

Seterusnya beliau berkata, jika bahan enap cemar atau efisen dilepaskan pada waktu malam dan laluannya dibersihkan, bolehkah dron beroperasi secara senyap tanpa lampu mampu untuk mengesan perbuatan tersebut.

“Sebaiknya, gunakan satelit untuk menyelesaikan masalah ini. Sebagai negara paling kaya di Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor mampu untuk mendapat akses teknologi tersebut,”katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here