Abdullah, pelumba basikal Sukan Asia, Komanwel 1962 meninggal dunia

0
719
ABDULLAH (terlantar) menerima sumbangan kerusi roda di rumahnya, Kampung Melayu Tambahan, Subang daripada Yakeb pada 14 Oktober lalu. - Foto Yakeb.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

BEKAS pelumba basikal negara yang pernah beraksi pada Sukan Empayar Britain dan Komanwel Perth 1962, Allahyarham Abdullah Abu telah kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 79 tahun di kediamannya, Kampung Melayu Tambahan, Subang, Selangor kerana sakit tua, kata menantunya, Zuraidah Ahmad.

“Allahyarham meninggalkan lima anak kesemuanya lelaki termasuk suami saya, Raken Hemly Abdullah,” katanya kepada BebasNews hari ini.

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) turut memaklumkan pemergian Allahyarham menerusi laman sosial Twitternya, beberapa minit kemudian.

“Kita kehilangan seorang bekas atlet berbasikal negara, Allahyarham Abdullah Abu (Sukan Empayar Britain dan Komanwel 1962 yang dipanggil Sukan Komanwel sahaja mulai 1978).

“Takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.”

Pada 14 Oktober lalu, Yakeb dalam aktiviti ‘Ziarah dan Layan’ telah menyampaikan bantuan berupa kerusi roda kepadanya.

Abdullah menduduki tempat ke-15 daripada 36 pelumba dalam perlumbaan lebuh raya Sukan Empayar Britain dan Komanwel 1962 di Kings Park, Perth, Australia yang dijuarai Wes Mason dari England.

Pencapaiannya dalam kayuhan lebih lima jam setengah itu merupakan yang terbaik dalam kalangan empat pelumba Malaysia yang turut bersaing iaitu NA Rosli, Saharudin Jaffar dan A. Michael.

Anak jati Kampung Ayer Molek, Melaka ini juga seangkatan trio pemenang pingat gangsa acara lebuh raya berpasukan Sukan Asia Jakarta 1962, Rosli Abdul Kadir, Jaafar Bibon dan Mohamad Jaafar.

“Dia juga mewakili negara dalam Sukan Asia Jakarta 1962 selain handal pada peringkat kebangsaan,” kata Saharudin, pemenang pingat emas 800 meter individu lepas beramai-ramai Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya, kira-kira enam atau tujuh tahun lalu. Tidak banyak perkembangan mengenainya sejak sekian lama dia bersara sebagai pelumba basikal,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here