Karya pelukis jalanan dijual cecah lebih RM40 juta

0
260
FOTO: Sotheby's.

LONDON – Siapa sangka hasil seni lukis seorang artis jalanan di ibu kota Britain boleh mampu pecah rekod jualan lumayan malahan berjaya dilelong hanya dalam masa sembilan minit.

Lukisan genre impresionis karya milik pelukis terkenal dengan nama gelaran Banksy itu telah dibida dengan harga 7.6 juta pound (RM40.7 juta) pada acara pelelongan anjuran Sotheby.

Ia sekali gus lakar sejarah sebagai harga kedua paling tinggi yang pernah dibayar untuk kerja seni oleh seorang pengkarya jalanan Britain selepas satu lagi lukisan beliau dijual tahun lalu.

Pada kali ini, hasil karya Banksy diberi nama sebagai ‘Show Me the Monet’ itu berjaya dijual kepada seorang pembida yang tidak dikenal pasti di Sotheby London lewat petang semalam.

Harga itu mengatasi anggaran sebelum jualan iaitu 5 juta pound (RM27.2 juta). Tahun lalu, karya beliau bertajuk ‘Devoted Parliament’ dilelong dengan nilai 9.9 juta pound (RM53.8 juta).

Dihasilkan pada 2005, lukisan terbaharu Banksy kali ini menambah troli beli-belah dan satu kon lalu lintas yang ditinggalkan di sungai bawah sebuah jambatan kecil dikelilingi bunga lili.

Beliau cuba memberi imej baharu kepada lukisan asal karya Claude Monet yang begitu gah terkenal dengan panorama taman bunga di Giverny, selatan Perancis pada tahun 1897 lepas.

Alex Branczik, ketua seni kontemporari Eropah di Sotheby, berkata bahawa kerja seni Banksy itu merupakan salah satu hasil ‘paling ikonik’ berjaya dijual pada acara pelelongan terbuka.

Banksy, dengan nama sebenar tidak pernah disahkan, memulakan kerjaya sebagai pelukis bangunan dengan sembur cat di Bristol, England sebelum jadi antara artis terkenal di dunia.

Pada awal bulan ini, hasil grafitinya yang bertajuk ‘Forgive Us Our Trespassing’ mampu dijual dengan harga cecah AS$8.3 juta (RM34.5 juta) di galeri Sotheby’s di Hong Kong, China.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here