Irfan Haris bukan patung, tonjol bakat menulis

0
368
Asalnya lagu Patung dibuat untuk Amira Othman tapi kini memjadi rezeki Irfan Haris.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MESKIPUN Irfan Haris Othman, 19, telah merakam lima buah lagu, namun hanya lagu Redha yang merupakan lagu debutnya pada 2016 yang berjaya menonjol namanya dalam bidang seni suara.

Lagu-lagu lain yang dirakam oleh Irfan adalah Pesan, Sambil (feat. Amira Othman), Honey dan Sehati Malaysia (feat. Rocketfuel All Star).

Irfan yang memulakan kerjaya seni menerusi program Idola Kecil pada 2011 dan Ceria Pop Star serta Big Stage 2 pada 2019, kini mahu mengatur langkah dalam kerjaya seni dengan single baharu yang berjudul Patung.

Patung adalah karya yang ditulis oleh Irfan bersama salah seorang saudaranya, Ubaidillah, sementara muzik pula digubah oleh abang kandungnya iaitu Haiqal Iskandar.

Irfan Haris turut berkolaborasi menulis lirik lagu Patung bersama Ubaidillah.

Penuntut jurusan diploma dalam bidang Entertainment Arts di KDU University Colllege itu berkata, beliau memilih untuk kembali kepada genre balada seperti lagu Redha.

“Sejurus keluar dari Big Stage, ramai yang mahu saya menyanyikan semula lagu balada kerana kebanyakan peminat lebih gemar saya menyanyikan lagu-lagu sebegitu.

“Lagu Patung merupakan idea Ubaidilllah, iaitu saudara saya.  Pada mulanya lagu ini diciptakan untuk kakak saya, Amira Othman, tetapi disebabkan hal yang tidak dapat dielakkan rezeki untuk menyanyikan lagu ini jatuh kepada saya,” jelasnya.

Patung telah dirakamkan sejurus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila arahan rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.

Jelas Irfan, beliau mengambil masa selama dua hari untuk siapkan rakaman kerana lagu tersebut memerlukan ‘feel’ yang cukup bagi menghidupkan rasa sedih yang diperlukan.

Antara adegan yang terdapat dalan video muzik Patung.

“Terus-terang saya katakan, lagu ini merupakan antara lagu paling sedih yang pernah saya nyanyikan, liriknya yang meruntun jiwa dengan melodi yang sedih pasti membuat sesiapa sahaja yang mendengarnya merasa syahdu,” katanya.

Irfan juga menganggap peluang bekerjasama dengan keluarga sendiri merupakan pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan.

Irfan Haris kembali kepada genre balada untuk lagu Patung ini.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat berkolaborasi dengan abang sendiri, Haiqal Iskandar selaku komposer dan saudara rapat, Ubaidillah kerana bakat yang mereka ada serta daya kreatif yang dimiliki sungguh menakjubkan.

“Selain itu saya juga dapat menonjolkan bakat saya sebagai penulis bersama dalam pembikinan lagu ini. Saya juga sangat teruja dengan konsep video muzik yang bakal dipertontonkan kerana saya berlakon menjadi patung di sebuah muzium dengan jalan cerita yang sungguh menarik,” ceritanya teruja.

Lagu Patung boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music sejak 1 Oktober lalu.

Manakala video lirik dan muzik lagu Patung ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment pada hari yang sama.

Berlakon sebagai patung untuk video muzik lagu tersebut.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here