Anwar perlu rujuk Perlembagaan Persekutuan sebelum ulas spekulasi darurat

0
190
FOTO: NSTP.

KUALA LUMPUR — Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menasihatkan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, merujuk kepada perlembagaan Persekutuan sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan spekulasi yang tersebar tentang kerajaan bakal mengisytiharkan darurat.

Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata Presiden PKR itu perlu membaca perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 150, yang menerangkan pelbagai jenis darurat.

“Apabila perkara yang menyentuh soal keselamatan negara, ekonomi dan sebagainya disenaraikan, maka pentaksirannya kena rujuk pada pakar undang-undang. Adakah pandemik COVID-19 ini tidak boleh masuk dalam kategori darurat dan keselamatan?

“32 buah negara seluruh dunia sudah pun isytiharkan darurat, Malaysia masih belum lagi kerana kita rasa masih boleh urus negara… itu pun saya tak kata kerajaan akan isytihar darurat,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan operasi [email protected] di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam yang dilaporkan berkata pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara, dan sekiranya kerajaan yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat adalah langkah ke belakang yang akan memungkin kediktatoran.

Annuar berkata kerajaan belum memutuskan sebarang keputusan berhubung pengisytiharan darurat di negara ini, dan ia perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum dilaksanakan.

“Apabila sebut soal darurat, orang awam bayangkan ‘curfew’, darurat masa 13 Mei tetapi kita terlupa waktu banjir di Manik Urai, Kelantan satu waktu dahulu, kenapa kerajaan tak isytihar darurat? Itu namanya darurat banjir dan darurat ada berbagai jenis darurat.

“Apa pun kita tunggulah…kerajaan belum  membuat sebarang keputusan, kerana segalanya mesti mengikut  jalur perundangan. Kalau kerajaan belum buat sebarang keputusan tapi kita dah jatuhkan hukum kata kerajaan nak jadi diktator, itu saya fikir tidak adil,” katanya.

Bagaimanapun Annuar berkata sekiranya kerajaan membuat keputusan mengisytiharkan darurat, pasti mempunyai penjelasan teliti mengenainya seperti spesifikasi (jenis) darurat, serta siapa yang memerintah negara semasa pelaksanaan darurat tersebut.

“Saya lihat analisa (kenyataan) Anwar adalah analisa ‘layman’. Dia kata tiada apa-apa perkara yang mengganggu ketenteraman awam.

“Sepatutnya jangan hukum sebelum benda berlaku.. dia sendiri ramal dan dia sendiri jatuh hukum itu tidak baik. Saya fikir itu adalah tindakan tidak beretika. Lagi pun Anwar kena terima hakikat bahawa dia turut terlibat, sehingga menyebabkan timbul keadaan gawat sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, 178 kawasan perumahan kos awam dan swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapat manfaat daripada program [email protected], iaitu pasar bergerak menjual barangan dapur dan makanan asas harian pada harga murah, selain dapat mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40).

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here