Darurat akan perburuk pengangguran, masalah ekonomi, kata badan pemikir

0
313

SEBUAH badan pemikir memberi amaran berhubung pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen dengan berkata, ia tidak baik untuk ekonomi dan demokrasi.

Dalam satu kenyataan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, pihaknya bimbang dengan beberapa laporan berita mengenai perintah darurat yang dijangka akan diumumkan, termasuk penggantungan Parlimen.

Spekulasi mengenai pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen tercetus berikutan mesyuarat khas Kabinet semalam.

“Sentimen perniagaan akan tergugat, yang memburukkan lagi unjuran ekonomi negatif disebabkan oleh pelbagai perkara yang berlaku tahun ini,” kata ketua eksekutifnya Tricia Yeoh.

Katanya, ekonomi Malaysia menguncup buat kali pertama semenjak krisis kewangan dunia kerana wabak Covid-19, dan paling kritikal ia menjejaskan perniagaan serta golongan B40.

“Perintah darurat di seluruh negara akan hanya memburukkan lagi kesukaran yang dihadapi oleh pemilik perniagaan kecil, meningkatkan pengangguran dan mengancam pertumbuhan ekonomi.”

Tambahnya, penggantungan Parlimen akan mengurangkan kebertanggungjawaban kerajaan dalam membuat keputusan, selain mengalihkan kuasa yang amat besar kepada eksekutif dan melemahkan lagi keabsahan kerajaan.

Yeoh menambah Belanjawan 2021 yang dijangka akan dibentangkan dan diluluskan tidak akan melalui penelitian sekiranya Parlimen digantung.

Dalam keadaan Covid-19 bertambah buruk, Yeoh berkata, krisis itu tidak memerlukan penggantungan institusi demokrasi kerana negara sudah mempunyai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk situasi seperti yang sedang dihadapi.

“Tambahan pula, jika perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa dan tiada perintah berkurung dilaksanakan, alasan pelaksanaan perintah darurat yang menjadi spekulasi kerana isu politik, akan menghakis kepercayaan masyarakat awam terhadap kerajaan yang memerintah hari ini.

“Kuasa mutlak yang diberikan kepada eksekutif merupakan cerun yang licin, sesuatu yang amat berbahaya, yang boleh membawa kepada penggantungan kebebasan awam dan amalan urus tadbir yang baik.”

Sementara itu, ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata, darurat akan memudaratkan demokrasi negara untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kita tak perlu terburu-buru untuk mengisytiharkan darurat hanya kerana orang yang berkuasa ingin berebut kedudukan mereka.”

https://bit.ly/3omfj6z
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here