Palestin kutuk Sudan jadi negara Islam ke-6 iktiraf Israel

0
426

BERANG… Marah dengan tindakan terdesak Sudan, Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk serta menolak perjanjian hubungan diplomatik antara Sudan dan Israel.

Media antarabangsa melaporkan, langkah Khartoum itu dianggap Palestin sebagai subahat dengan rejim Israel bagi rampas secara haram tanah milik sah penduduk Palestin sendiri.

“Tiada sesiapa pun mempunyai hak untuk bersuara bagi pihak rakyat Palestin dan perjuangan Palestin,” tegasnya menerusi satu kenyataan media disiar pejabat pemimpin itu di Ramallah.

Sudan pada 23 Oktober lalu ambil langkah bersejarah yang dikecam Palestin apabila ikut jejak Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain jalin hubungan dengan Israel sejak dua bulan lepas.

Ia diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di White House kurang 24 jam Sudan bersetuju bayar pampasan kepada ramai mangsa keganasan diktator Omar Al-Bashir.

Khartoum akur beri ganti rugi AS$335 juta (RM1.4 bilion) sebagai perjanjian penyelesaian sulit untuk waris kezaliman bekas pemimpin negara Islam itu yang menyokong gerakan Al-Qaeda.

Serentak pengumuman itu, Trump sebagai balasan bersetuju ‘padam’ Sudan daripada senarai lima negara penaja keganasan global serta dimansuh sekatan ekonomi dan pelaburan asing.

Menurut kenyataan bersama tiga negara itu, para pemimpinnya bersetuju bagi menormalkan hubungan antara Sudan dan Israel demi akhiri pertelingkahan antara mereka sejak 1967 lagi.

“Delegasi Israel bakal bertemu Sudan dalam beberapa minggu akan datang. Negara-negara itu juga dijangka membincangkan isu pertanian, penerbangan dan migrasi,” kata Trump lagi.

Beliau dalam nada sinis menjangkakan Palestin dan negara-negara Islam lain, termasuk Arab Saudi juga setuju untuk jalin hubungan yang lebih erat dengan Israel pada masa akan datang.

“Sudan sudah menjadi negara ketiga pada tahun ini yang berjaya melakukannya – dan akan ada banyak lagi,” tambah Trump dengan rujuk UAE dan Bahrain dalam tempoh dua bulan lalu.

Sebelum itu, Mesir muncul sebagai negara Arab yang pertama mengiktiraf Israel pada 1978 dan sebagai balasan negara itu dapat semula Semenanjung Sinai, diikuti Jordan pada 1994.

Bagaimanapun, Turki lebih awal jalin hubungan diplomatik dengan Israel sejak 1949 susulan kejatuhan empayar khalifah Islam terakhir, Uthmaniah oleh Mustafa Kemal Ataturk pada 1924.

Peningkatan beberapa negara Arab yang cuba menormalkan hubungan dengan Israel dikutuk rakyat Palestin, apabila melihatnya sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan suci mereka.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here