Luahan kecewa Dr Noor Hisham 

Sedih sekali apabila suasana bertambah baik dan kerajaan memberi lebih kelonggaran, ramai yang lekas lupa. SOP tidak lagi dipatuhi sepenuhnya.

0
942

BERAPA berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Bertambah berat beban jika yang lain hanya memperhatikan tanpa sudi menghulur pertolongan. Lama kelamaan bahu kian lemah dan tidak lagi mampu terus menanggung beban yang semakin berat.

Barangkali ini luahan rasa yang ingin dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, betapa tekanan yang kian mencabar dihadapi oleh para petugas barisan hadapan COvid-19, termasuk pegawai dan kaki tangan perubatan.

Begitu sekali kepayahan mereka berkorban di lapangan saban hari dengan waktu rehat yang sangat  terhad dalam tempuh 10 bulan lalu sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Mereka telah terlalu letih atau exhausted, baik dari segi fizikal atau mental sehingga menurut Dr. Noor Hisham, ada yang hampir menyerah kalah.

Pastinya yang mengecewakan ialah dalam mereka bertungkus lumus menjalankan tugas merawat pesakit Covid-19 dan berusaha mengekang penularan pandemik tersebut, orang ramai bagai tidak menghargai.

Ramai yang masih enggan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) walau pun yang mudah seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sedangkan ia merupakan elemen penting dalam membantu penularan wabak.

Orang ramai dinasihatkan duduk di rumah dan keluar hanya jika tersangat perlu. Juga tidak dibenarkan merentasi daerah atau sempadan negeri bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tetapi lihatlah betapa banyak laporan kes pelanggaran peraturan ini. Ramai keluar rumah semata-mata untuk bersantai dan berkumpul atau berbual di kedai kopi dengan mengabaikan pemakaian penutup mulut dan penjarakan fizikal. Ada juga yang berani cuba merentas daerah atau negeri.

Apakah masyarakat masih menganggap remeh peraturan yang dikenakan oleh kerajaan? Kenapakah mereka ingkar kepada peraturan yang dibuat demi keselamatan mereka sendiri?

Carta jangkitan Covid-19 terus meningkat kebelakangan ini sehingga mencapai angka empat digit iaitu melebihi 1,228 orang pada 24 Oktober. Ini adalah angka tertinggi sehingga ini khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September.

Negara telah melalui era yang sangat memberangsangkan apabila angka jangkitan pernah berada pada satu digit. Ia sangat menggembirakan dan memberi harapan pandemik tersebut akan terus menyusut.

Namun sedih sekali apabila suasana bertambah baik dan kerajaan memberi lebih kelonggaran, ramai yang lekas lupa. SOP tidak lagi dipatuhi sepenuhnya.

Ramai membuat anggapan sendiri dengan keadaan yang lebih baik, mereka wajar lebih bebas. Tetapi mereka lupa bahawa sikap inilah sebenarnya yang menyebabkan yang sudah susut kembali membesar, yang hampir sembuh kembali parah.

Kerana itu seperti yang ditegaskan oleh Dr Noor Hisham, rakyat Malaysia mesti terus bersatu dan mematuhi SOP dalam usaha berterusan memerangi Covid-19.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengambil iktibar daripada PRN Sabah. Ia merupakan detik pencetus carta jangkitan kembali mencanak, bukan sahaja di Sabah yang ketika itu telah pun mencatatkan angka jangkitan tinggi, malah merebak ke Semenanjung.

Sekali lagi ini berpunca kerana mudah lupa. Keghairahan PRN menyebabkan berlakunya banyak keluar masuk antara Sabah dan Semenanjung, khususnya bagi tujuan berkempen.

Waktu berkempen, pastinya ramai berkumpul. Ketika sudah ramai bersesak-sesak, aspek penjarakan fizikal tidak dipedulikan. Maka lebih mudahlah Covid-19 merebak.

Namun apa yang berlalu sudah berlaku, tidak perlu dikesali dan ditangisi. Yang lebih penting ialah mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku untuk menjadi panduan pada masa hadapan.

Seperti kata Dr Noor Hisham, sekarang bukan waktu untuk bertelagah. Sebaliknya rakyat negara ini perlu menghayati apa yang telah berlaku dan jangan diulangi kesilapan. Mereka mesti menggembleng usaha memerangi Covid-19.

Negara sedang menghadapi waktu sukar membendung wabak yang kian meningkat. Justeru usaha bersungguh-sungguh dan penuh komited mesti dilakukan untuk melandai lengkung penularan Covid-19.

Ingatan Dr. Noor Hisham, cabaran utama kini adalah melindungi dan mencapai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi dalam memerangi pandemik tersebut.

Jelas sekali pandemik tersebut telah menyebabkan kegoyahan ekonomi. Ramai kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Perniagaan ada yang gulung tikar.

Kerana itu amat penting dalam mengawal Covid-19, kedua-dua aspek berkenaan diambil kira dan diberi pertimbangan serius. Hilang keseimbangan bererti kehilangan nyawa dan mata pencarian.

Marilah bersama-sama membantu mencapai keseimbangan ini. Marilah kita hargai peranan dan sumbangan barisan hadapan yang banyak berkorban untuk kita. Beri semangat dan jangan mengecewakan mereka.

Patuhi segala SOP ditetapkan. Adakah terlalu susah untuk kita memberi sumbangan kecil ini dibandingkan mereka yang berkorban masa, tenaga dan jiwa raga untuk kita?

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here