Cik B dipaksa berlakon?

0
802
Cik B buat pertama kalinya berlakon dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PASTI ramai yang sudah tonton drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta yang mula disiar menerusi slot Lestary TV3 sejak 21 Oktober lalu. Drama 13 episod arahan Emi Suffian yang ditulis oleh Marr Mohammad itu diadaptasi dari novel karya Lily Haslina Nasir.

Mesti ada yang tak percaya apabila melihat drama terbitan Zeel Production Sdn. Bhd., itu menampilkan Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 15, atau lebih dikenali sebagai Cik B sebagai pelakon pembantu.

Cik B, anak kepada usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida dalam drama tersebut melakonkan watak Maria, kawan baik kepada Esya, lakonan Shasha Abedul.

Mesti ramai nak tahu, macam mana Cik B boleh terlibat dalam drama yang menjalani penggambaran di Gopeng, Perak, Kuala Lumpur dan Shah Alam itu.

“Mama yang suruh Cik B berlakon dalam drama itu, kata mama untuk mengisi masa lapang. Walaupun Cik B tak pernah berlakon tapi tak salah untuk mencuba.

Biarpun mula-mula malu, selepas berlakon Cik B teruja untuk berlakon lagi.

“Cik B dapat tawaran berlakon tu kira saat akhir juga bagi orang yang tak pernah berlakon ni, iaitu seminggu sebelum penggambaran bermula.

“Melakonkan watak Maria, anak orang kaya dan juga seorang instafamous. Maria ni kawan baik kepada Esya dalam drama ini dan sebab itu adegan Cik B banyak dengan heroin,” jelasnya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatApps, baru-baru ini.

Jelas Cik B, walaupun tawaran yang diterima lewat, namun beliau sempat menonton beberapa drama di Netflix sebagai rujukan untuk melakonkan wataknya.

Pada waktu yang sama kata Cik B, beliau turut berlatih dialog dengan bantuan mamanya kerana karakter Maria bukanlah personaliti Cik B yang sebenar.

“Cik B berada di set lokasi hampir dua bulan, bermula pada 27 Julai. Kalau ikutkan, semua babak susah untuk Cik B, sebab ini kali pertama Cik B berlakon. Paling nervous bila ada dialog, alhamdulillah Cik B mendapat kerjasama baik daripada semua orang di set.

“Kalau ikutkan, kemunculan Cik B dalam drama ini adalah satu rezeki sebab dapat berlakon dengan artis-artis popular. Walaupun watak Maria itu bukan peribadi Cik B tapi Cik B berusaha jayakan watak itu dengan gaya tersendiri,” jelasnya.

Kalau anda semua nak tahu, kebanyakan baju yang dipakai oleh Cik B untuk drama tersebut adalah koleksi Vida kerana pakaian Cik B lebih kepada baju hoodie.

Datuk Seri Vida yang menggalakkan Cik B untuk berlakon.

Beliau yang mendapat pelepasan dari pihak sekolah untuk berlakon kerana kebanyakan kelas dibuat atas talian berkata, peluang berlakon drama Lelaki Lingkungan Cinta adalah pengalaman menarik.

“Cik B selesa berkawan dengan semua orang tapi paling rapat dengan Shasha dan Asha Merican. Kami adalah kawan baik dalam drama itu dan banyak berbincang.

“Lepas ni kalau ada tawaran berlakon lagi, Cik B berminat nak mencuba. Kalau boleh nak bawa watak psiko atau apa saja yang sesuai. Siapa tahu kalau ada yang nak tawarkan Cik B berlakon,” katanya terus terang.

Selain berlakon, Cik B juga bakal mengeluarkan lagu slow rap ciptaan Yonnyboi tidak lama lagi.

Sementara itu, Vida berkata, beliau yang mendesak Cik B untuk cuba bidang lakonan bagi mengisi masa lapangnya.

“Saya yang push Cik B untuk cuba berlakon. Kalau ikutkan Cik B, memanglah dia tak nak sebab malu. Tapi lepas dipujuk-pujuk, akhirnya Cik B setuju untuk berlakon. Alhamdulillah, lepas berlakon drama itu, nampak dia dah mula suka berlakon,” katanya.

Berlakon merupakan satu pengalaman baharu kepada Cik B.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here