Bantuan pembayaran pasca moratorium Bank Islam dilanjutkan sehingga Jun 2021

0
573

KUALA LUMPUR — Bantuan pembayaran bersasar Bank Islam Malaysia Bhd yang ditawarkan kepada mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan dilanjutkan sehingga 30 Jun, 2021.

Bank itu memberi jaminan bahawa ia komited untuk membantu pelanggan mendepani tempoh semasa yang mencabar khususnya ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara.

Bank Islam turut menyediakan pilihan penjadualan dan penstrukturan semula kepada pelanggan yang tidak terkesan oleh kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji tetapi masih memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka mengatur semula aliran kewangan masing-masing.

“Sejak bermulanya pelaksanaan moratorium automatik pada April 2020, kami secara konsisten telah mendekati para pelanggan yang memerlukan pelan pembayaran semula yang lebih khusus,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Muazzam Mohamed dalam satu kenyataan.

Sehingga kini, kadar kelulusan permohonan bagi bantuan pasca moratorium untuk pelanggan perniagaan adalah hampir 100 peratus.

“Sementara bagi pelanggan runcit, kami telah meluluskan 100 peratus daripada jumlah permohonan yang lengkap dengan dokumen sokongan, yang mana 43 peratus kelulusan untuk penangguhan selama tiga bulan dan baki 57 peratus kelulusan di bawah pelan pengurangan ansuran selama enam bulan.

Beliau berkata pihak bank juga giat menghubungi para pelanggan yang terkesan tetapi masih belum menghantar dokumen sokongan yang diperlukan bagi permohonan bantuan pembayaran semula bersasar mereka.

Di samping itu, proses permohonan juga telah dipermudahkan bagi membantu pelanggan.

“Kami sedar terdapat pelanggan yang mungkin terus mengalami tekanan aliran tunai ekoran pandemik yang sedang melanda dan memerlukan sokongan tambahan bagi membolehkan mereka menguruskan keadaan kewangan dengan lebih baik.

“Sehubungan itu, Bank Islam sentiasa bersedia untuk berbincang dan menyediakan penyelesaian kewangan terbaik bagi membantu mereka mendepani keadaan yang mencabar ini,” kata beliau.

Mohd Muazzam berkata bank juga secara proaktif menghubungi pelanggan yang mungkin terjejas, terutamanya dalam sektor yang terkesan ekoran penularan COVID-19, termasuk warga kerja dalam sektor pelancongan, hospitaliti dan penerbangan.

“Setakat hari ini, 98 peratus pelanggan Bank Islam telah menyambung semula komitmen pembayaran pembiayaan mereka selepas September 2020. Pembayaran semula ini dapat memastikan kecairan dan sumber kewangan sentiasa tersedia bagi membolehkan Bank Islam terus memberikan sokongan kepada individu dan perniagaan lain.

Bank Islam memberi jaminan bahawa perkhidmatan perbankan yang berterusan boleh terus dinikmati melalui platform perbankan dalam talian dan maya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memenuhi keperluan perbankan pelanggan.

Sebagai alternatif, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900 atau layari www.bankislam.com/COVID-19 bagi memohon bantuan pembayaran semula pasca moratorium.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here