Suasana pintu utama Istana Negara tenang, dikawal ketat

    0
    303
    FOTO: NSTP.

    KUALA LUMPUR — Suasana di Pintu Utama Istana Negara tenang dan dikawal ketat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak pagi tadi.

    Pengamal media tempatan dan antarabangsa telah berkumpul di sekitar kawasan ini sejak 11 pagi tadi bagi mengikuti perkembangan semasa dan menanti keberangkatan tiba rombongan Raja-raja Melayu yang dijangka menghadiri mesyuarat khas Raja-Raja Melayu, petang ini.

    Polis juga memasang pemisah dan kon sebagai langkah keselamatan untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan fizikal petugas media ketika membuat liputan di sini.

    Petugas media yang hadir wajib mengimbas kod QR MySejahtera dan mengambil suhu badan serta diberikan pelekat khas.

    Polis turut mengadakan kawalan keselamatan di laluan utama menghala ke Pintu Utama Istana Negara hari ini.

    Sementara itu, kenderaan rasmi yang membawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat masuk ke Istana Negara pada 12.23 tengah hari.

    Petang ini, Majlis Raja-Raja Melayu dijangka bermesyuarat bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya, pagi Jumaat lepas.

    Pada petang hari sama, Muhyiddin bersama beberapa Menteri Kabinet menghadap Seri Paduka di Istana Abdulaziz di Kuantan Pahang.

    Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya.

    Dalam kenyataan sama, Seri Paduka dimaklumkan akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan cadangan-cadangan itu.

    — BERNAMA

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here