Shafie Apdal, Lim tawar Muhyiddin pilihan selain darurat

0
423

DI TENGAH-TENGAH kemungkinan kerajaan mengisytiharkan darurat dan parlimen digantung, beberapa tokoh pembangkang menawarkan beberapa pilihan lain kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata hari ini darurat bukan pilihan dan menggesa “perpaduan.”

Shafie, yang tewas kepada gabungan pimpinan Muhyiddin pada PRK Sabah 26 Sept lalu, berkata beliau sedia berdamai.

“Saya memohon kepada semua pemimpin di negara kita yang dikasihi untuk mengetepikan perbezaan kita dan bekerja bersama-sama untuk mengatasi cabaran terbesar yang sedang kita hadapi, dan mengutamakan Raja, negara dan rakyat di atas semua masalah lain.

“Kami mungkin tidak sepakat dalam banyak perkara, tetapi pada masa ini, saya rasa kami boleh bersetuju dengan satu perkara – kami mencintai negara kita ini.

“Semoga Allah memberi kita semua hidayah dan petunjuk untuk memilih jalan yang benar dan betul demi kepentingan negara,” kata Shafie, yang juga ahli parlimen Semporna.

“Keruntuhan ekonomi global dan domestik (akibat dampak Covid-19) yang membinasakan dan memberi kesan terhadap kehidupan setiap rakyat Malaysia adalah musuh sebenar,” jelas bekas ketua menteri Sabah pada satu kenyataan.

Semalam, Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan memperoleh sokongan dwiparti untuk meluluskan Belanjawan 2021 dan bukannya mengisytiharkan darurat.

Syed Saddiq, yang kini tidak menyebelahi mana-mana parti, berkata anggota parlimen telah membuktikan bahawa mereka boleh bekerjasama apabila diperlukan.

Syed Saddiq semalam mencadangkan perjanjian “keyakinan dan pembekalan” (confidence-and-supply).

Dalam sistem parlimen Westminster perjanjian “keyakinan dan pembekalan” bermaksud sesebuah parti itu atau ahli palimen bersetuju menyokong undi percaya atau rang undang-undang kerajaan sedia ada, sama ada dengan pengundian memihak kepada dasar tersebut atau pun mengecualikan diri.

Ini berbeza dengan aturan undian di parlimen berdasarkan gabungan parti pemerintah, yang mana MP perlu mengundi kerajaan pada setiap RUU.

Dia berkata demikian merujuk pindaan perlembagaan untuk menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun yang mendapat sokongan Dewan Rakyat.

Syed Saddiq meletakkan syarat kerjasama dwiparti itu dengan pembangkang masih berperanan tetapi tiada pilihan raya umum diadakan sehingga Covid-19 stabil dalam masa setahun atau dua tahun lagi.

Kedua, beliau mencadangkan peruntukan sekata untuk semua ahli parlimen bagi mengelakkan tindakan ‘lompat’ parti.

Ketiga,  Syed Saddiq menggesa jawatankuasa dwiparti dalam meluluskan RUU penting.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pada satu kenyataan mengusulkan supaya Muhyiddin diberikan waktu hingga 6 November bagi menentukan sekiranya mungkin untuk beliau mengaturkan perjanjian “keyakinan dan pembekalan” atau mengemukakan pilihan lain.

Ini jelas Lim, supaya perang melawan Covid-19 benar-benar digerakkan oleh seluruh masyarakat dan kerajaan yang dipimpin oleh 222 anggota Dewan Rakyat di parlimen.

Ketika dihubungi, veteran DAP itu berkata beliau setuju dengan beberapa perkara yang dikemukakan oleh Syed Saddiq.

Sentimen sebegitu bukanlah perkara baru daripada tokoh DAP.

Pada 18 Ogos dan 22 Oktober, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menganjurkan “gencatan senjata” dan meminta Muhyiddin meneroka kerjasama dwiparti pemerintah dan pembangkang.

Ketika itu, kedudukan Muhyiddin dilihat mulai lemah dan menghadapi tekanan daripada sekutunya Umno dan saingan PKR.

Kelmarin, kabinet dilapor bersetuju pelaksanaan ‘darurat’ bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Kemudian, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan Pahang, namun butiran mengenai pertemuan itu tidak didedahkan.

Hari ini, Sultan Abdullah akan bertemu dengan Majlis Raja-Raja Melayu difahamkan bagi membincangkan pengisytiharan darurat.

Terdahulu, kerajaan Muhyiddin dijadualkan akan membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November dan undian akan bermula pada 17 November.

Bagaimanapun, sebilangan ahli parlimen Pakatan Harapan pula memberitahu Malaysiakini bahawa undian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 mungkin boleh membawa mudarat kepada kedudukan Muhyiddin.

Ahli Parlimen Shah Alam dan Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad berkata hal ini mungkin mewujudkan duluan (precedent) salah kepada perdana menteri yang kehilangan majoriti.

“Cara yang tepat adalah dengan memiliki undi percaya. Jika Muhyiddin menang, walaupun dengan satu undi, kami dapat mempertimbangkan kes itu ditutup, dan kami akan pergi ke aturan RUU Perbekalan.

“Jika beliau kalah, kami akan memilih perdana menteri baru dan bergerak ke hadapan.

“Kalau tidak, kamu hanya membuat precedent untuk pimpinan akan datang – kalah majoriti, kemudian ancam untuk isytihar darurat bagi memaksa kelulusan RUU Perbekalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR dan MP Lembah Pantai Fahmi Fazil berkata beliau tidak menentang RUU perbekalan jika boleh menjadikan keadaan politik lebih baik lagi.

“Tapi sebenarnya, saya was-was. Muhyiddin boleh membantu lebih awal untuk menunjukkan beliau ikhlas.

“Misalnya dengan bukan sahaja membenarkan perkongsian data terperinci antara Kementerian Kesihatan (CPRC) dengan Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor tetapi juga melibatkan pemimpin pembangkang dan menteri besar di dalam taklimat dan keputusan penting Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tapi ini tidak terjadi,” kata Fahmi.

Jelasnya, Muhyiddin perlu membina kepercayaan dengan berjanji untuk tidak mengisytiharkan darurat dan mula berunding dengan pembangkang.

https://bit.ly/3jsJHbM
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here