Khabib umum bersara MMA ketika di puncak kerjaya

0
412

BERUNDUR… Khabib Nurmagomedov mengumumkan bersara daripada kerjaya seni bela diri campuran (MMA) selepas habis perlawanan di Fight Island, Abu Dhabi lewat 24 Oktober.

Beliau membuat pengumuman cukup mengejutkan ramai penonton itu sejurus menumpaskan lawannya, Justin Gaethje dari Amerika Syarikat (AS) yang serah kalah ketika pusingan kedua.

Dengan penuh emosi Khabib, 32, meninggalkan sarung tangannya di tengah oktagon pentas acara utama Ultimate Fighting Championship (UFC) 254 untuk tunai janji kepada ibunya.

Terdahulu, bintang MMA beragama Islam dari Rusia itu berjaya merebahkan Gaethje, 31, dengan kuncian ‘triangle choke’ dan membuatkan lawannya tidak sedarkan diri buat seketika.

Ia sekali gus hadiah rekod cemerlang 29 kali menang tanpa pernah kalah sejak aktif sukan itu pada 2008, malahan tahun lalu diiktiraf sebagai atlit MMA paling tinggi bayaran dalam UFC .

Banyak pihak sebelum ini meragui Khabib mampu tampil lawan Gaethje ekoran kematian bapanya, Abdulmanapovich, 57, di Moscow pada 3 Julai lepas akibat komplikasi Covid-19.

Allahyarham latih beliau bertarung dalam sukan ini sejak usia muda dan berada di sisinya di Abu Dhabi pada 7 September 2019 ketika Khabib atasi Dustin Poirier dalam acara UFC 242.

“Saya bercakap dengan ibu saya tiga hari (lalu). Dia tidak mahu saya berlawan tanpa ayah, tetapi saya berjanji dengan ibu, ini pertarungan terakhir saya, dan jika saya sudah berjanji.”

“Saya mesti tunaikannya, Ini adalah perlawanan terakhir. Saya hanya tahu satu perkara yang saya mahukan dari UFC – kalian mesti letak saya sebagai petarung nombor satu di dunia.”

“Ini kerana saya memang layak menerimanya,” kata Khabib yang juga diberi gelaran The Eagle dan jelas kelihatan amat sebak semasa dibawa keluar dari gelanggang perlawanan.

Pengumuman persaraan itu turut memeranjatkan lebih 23 juta pengikut akaun media sosial rasmi Instagram miliknya kerana faktor usia dirinya yang masih muda dan amat bertenaga.

Dengan ketinggian 178 sentimeter dan berat 70 kilogram, Khabib yang fasih lima bahasa termasuk Arab dan Inggeris, sering menjadikan bapanya itu sebagai idola kehidupan beliau.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here