Darurat senjata tangani Covid-19?

0
354
fotoBERNAMA

Oleh Yusof Redzuan

SEJAK beberapa hari lalu, saya perhatikan pelbagai spekulasi tercetus tetapi paling menarik perhatian adalah laporan media serta pelbagai platform media sosial, bahawa darurat mungkin dicadangkan untuk memerangi Covid-19.

Sejak itu juga, kritikan bertali arus dihalakan kepada kerajaan, namun ia memang sudah dijangka kerana terma ‘darurat’ itu sendiri bukan sesuatu yang biasa kita dengar di Malaysia.

Spekulasi sama turut ‘melahirkan’ ramai pakar jadian dalam bidang Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, menghentam dan membidas tanpa asas, sedangkan mereka sendiri pun saya rasa bukannya memahami definisi, maksud dan bentuk-bentuk darurat yang sebenar.

Bagi mereka, darurat membawa maksud pemerintahan tentera, ketumbukan tentera dan kereta kebal meronda di jalan raya, hak-hak asasi rakyat tidak lagi bermakna dan pemerintahan diktator akan menguasai Malaysia. Bagi mereka lagi, pengisytiharan darurat mencabul sistem demokrasi dan nilai-nilai yang diamalkan di negara kita.

Saya juga membaca ada pemimpin pembangkang menganggap cadangan itu sebagai tidak wajar ketika negara masih bergelut dengan krisis kesihatan, berperang melawan musuh yang tidak kelihatan.

Mereka juga mendakwa, apa perlunya darurat diisytihar sedangkan kita sudah ada Majlis Keselamatan Negara (MKN), agensi yang mempunyai kuasa yang luas untuk menangani pandemik Covid-19, melaksanakan tindakan lebih keras seperti perintah kawalan pergerakan lebih ketat atau kawalan di sempadan dipertingkatkan dengan lebih hebat.

Namun, dalam banyak-banyak kenyataan atau laporan media yang saya baca, tidak nampak seorang pun daripada mereka memberikan apa-apa cadangan yang praktikal bagaimana kita mahu menguruskan punca utama peningkatan kes jangkitan baharu seperti yang kita lihat sekarang, iaitu pilihan raya.

Sedangkan dalam kalangan mereka juga sebelum ini menyalahkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai penyumbang utama penularan gelombang ketiga penularan Covid-19 di seluruh negara.

Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh kempen pada PRN itu menjadikan keadaan bertambah teruk, malah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri turut menjadi mangsa.

Setakat 24 Oktober lalu, sebanyak 11,285 kes keseluruhan positif Covid-19 dilaporkan di Negeri Bawah Bayu itu, hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada kes di Selangor (3,880), iaitu negeri kedua dengan kes paling banyak. Setakat tempoh sama juga, kira-kira 24 kluster baharu dikesan di luar Sabah yang kes indeksnya ada sejarah perjalanan ke negeri berkenaan.

Jika kita ikuti perkembangan penularan dalam gelombang ketiga ini, pasti tahu bahawa jumlah kes, kluster dan kematian baharu amat membimbangkan. Pada 24 Oktober, jumlah jangkitan baharu buat pertama kali mencecah empat angka, 1,228 kes dengan tujuh kematian dan sehari sebelum itu, 10 kes kematian yang juga paling tinggi direkodkan dalam sehari.

Bagi saya, dalam keadaan biasa, memang tidak perlu pun pengisytiharan darurat untuk menangani penularan Covid-19 kerana ada beberapa peruntukan undang-undang untuk membolehkan perintah kawalan pergerakan lebih ketat atau untuk mengambil tindakan ke atas pendatang asing tanpa izin dijangkiti virus itu yang cuba menyeludup masuk ke negara ini.

Namun, dengan semua undang-undang yang ada bagi tujuan berkenaan, hanya satu kuasa yang tidak dimiliki kerajaan, iaitu menghentikan pilihan raya, paling hampir adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, dijadualkan pada 5 Disember depan di Sabah, negeri titik pusat gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara kita.

Adakah rakyat Sabah khasnya dan Malaysia amnya sanggup melihat lebih banyak penderitaan dan kematian angkara jangkitan Covid-19. Di negeri sebelahnya iaitu Sarawak, PRN terpaksa diadakan tidak lama lagi, namun apa yang lebih membimbangkan desakan demi desakan dibuat supaya Pilihan Raya Umum (PRU) juga diadakan lebih awal.

Jangan juga dilupa Belanjawan 2021 dijadualkan dibentang di Parlimen pada 6 November ini, tidak sampai dua minggu lalu dan mengambil kira kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti cukup kecil di Dewan Rakyat, sudah ada cakap-cakap belanjawan mungkin tidak akan memperolehi sokongan yang cukup untuk diluluskan.

Jika itu berlaku, ia merupakan pengakhiran untuk Kabinet sedia ada, sekali gus memerlukan kerajaan mengembalikan mandat kepada rakyat walaupun penggal PRU-14 hanya akan berakhir kira-kira tiga tahun lagi. Undang-undang jelas menyatakan PRU perlu diadakan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai pilihan.

Jika kita di bawah darurat – jumlah kes terkini Covid-19 di Malaysia menunjukkan memang kita dalam keadaan ‘darurat’ sekarang – semua hal legislatif digantung.

Justeru, dengan tiadanya ‘Pedang Damocles’ terus mengganggu, kerajaan boleh melaksanakan apa juga langkah yang perlu bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 tanpa perlu mengambil kira atau risau dalam membuat pertimbangan politik.

Gangguan politik boleh menyebabkan Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat, yang bermakna kerajaan tidak boleh berbelanja, sama ada untuk membeli keperluan perubatan atau kit ujian Covid-19, malah membayar gaji kakitangan perkhidmatan awam, termasuk juga petugas-petugas barisan hadapan.

Jika prorog Parlimen atau penggantungan Dewan Rakyat dilaksanakan, kerajaan boleh berbelanja dan ia pasti akan banyak membantu dalam tempoh yang kritikal ini.

Dalam isu ini, saya mengajak semua pihak agar dapat menyegarkan kembali minda, memahami apa itu sebenarnya demokrasi. Demokrasi bermaksud ‘rakyat’ dan bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln mendefinisikannya sebagai ‘pemerintahan daripada rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat’.

Dan saya percaya, apa juga yang dirancang oleh kerajaan dalam tempoh krisis yang sangat membimbangkan ini, pastinya mengambil kira kepentingan rakyat.

Yusof Redzuan merupakan pembaca BebasNews

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here