Ramai yang tawar Cik B berlakon

0
393
Drama Lelaki Lingkungan Cinta ditayang setiap Rabu hingga Jumaat, 9 malam di TV3.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SELALUNYA Pengarah Urusan Zeel Production Sdn. Bhd., Fadzil Teh atau Haji Zil akan menguar-uarkan di media sosial, sesi uji bakat akan diadakan untuk mencari pelakon baharu bagi drama yang bakal diterbitkan oleh syarikatnya.

Namun untuk drama 13 episod, Lelaki Lingkungan Cinta, Haji Zil tidak mengadakan uji bakat untuk pelakon baharu kerana beliau sudah melihat bakat lakonan pelakon itu di media sosial.

Bakat baharu yang mendapat kepercayaan dan keyakinan Haji Zil untuk ditonjolkan dalam Lelaki Lingkungan Cinta itu ialah Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin.

Menurut penulis skrip drama tersebut, Marr Mohamad, idea untuk memanggil Cik B, 15, berlakon dalam drama arahan Emi Suffian itu datangnya daripada Haji Zil sendiri.

Haji Zil atau Fadzil Teh yang mahukan Cik B berlakon dalam drama arahan Emi Suffian itu.

“Haji Zil tertarik dengan karakter Cik B setiap kali muncul di media sosial. Cik B tak nampak pemalu dan main cakap lepas saja. Dia pun kelihatan sporting dan selalu buat TikTok. Daripada situlah Haji Zil kata, kenapa tidak kita tawar Cik B berlakon sebab tak pernah tengok sisi Cik B berlakon.

“Kami pun hubungi Datuk Seri Vida. Mula-mula takut juga sebab Cik B tak pernah berlakon dan takut mak dia tak faham suasana kerja macam mana. Biasalah shooting, dalam sehari banyak scene dan mesti penat nanti.

“Mengejutkan kerana Datuk Vida tak membantah, dia nak Cik B berlakon dalam drama tu dan paksa anak dia berlakon. Dia kata, macam mana pun Cik B kena buat. Mungkin Datuk Vida nak Cik B cuba sesuatu yang baharu,” cerita Marr ketika dihubungi, baru-baru ini.

Haji Zil dan Marr Mohamad selaku penulis skrip Lelaki Lingkungan Cinta.

Tambah Marr, pada hari pertama Cik B datang ke set penggambaran, ramai yang terkejut kerana karakter remaja itu bukanlah ‘gila-gila’ seperti yang ditonjolkan di media sosial. Sebaliknya, sifat pemalu jelas terbayang di wajah Cik B.

Untuk membuatkan Cik B selesa berada di set, kru produksi terpaksa tenangkan beliau serta memberi tunjuk ajar supaya anak pemilik kosmetik, Vida Beauty itu faham macam mana suasana di set penggambaran.

“Mula-mula kita pun terkejut sebab tengok Cik B pemalu dan nampak kurang berkeyakinan sedikit. Tapi lama-lama bila dia bercampur gaul dengan kru teknikal, pengarah, team wardrobe dan mekap, semuanya membuatkan dia makin berani.

 

Dalam drama ini ada subplot watak Maria , lakonan Cik B bercinta.

“Sebelum tu, kita orang berdebar juga, kalau-kalau Cik B mengadu kata letih kepada mamanya dan kita orang sampai minta izin kat Datuk Vida, jangan saman kita orang kalau Cik B mengadu letih lepas berlakon sebab tak biasa dengan keadaan tu. Alhamdulillah,  semuanya berjalan lancar,” cerita Marr tentang persepsi awal mereka terhadap Cik B.

Melihat kepada perkembangan Cik B sepanjang berada di set, kata Marr, beliau dapat lihat remaja itu gembira kerana berpeluang melakukan pelbagai perkara yang tak pernah dibuat sepanjang hidupnya sebelum ini.

Menerusi drama ini Cik B berpeluang melakukan pelbagai aktiviti bersama rakan artis lain.

“Seronoklah tengok remaja pemalu yang sedang meningkat naik dan tidak ada keyakinan diri, bila dapat peluang macam ni dia boleh bina keyakinan dirinya. Maklumlah sebelum ini asyik duduk bawah ketiak mak saja dan bila berlakon drama ini, dia berpeluag menimba pengalaman baharu.

“Mula-mula mungkin nampak kaku lakonannya tapi lama kelamaan, dia pula pandai daripada pelakon lain, dia pandai ad-lib, nak masuk mood macam mana. Dia dah hafal dan tahu mood nak diketengahkan, sedangkan dia tak pernah berlakon sebelum ini. Kira baguslah tahap dia tu. Bila dah biasa depan kamera, Cik B tak malu dah dan nampak dia seronok berlakon,” jelas Marr lagi.

Tambah Marr, walaupun Cik B hanya pelakon pembantu, namun adegannya ada sampai ke penghujung drama dan ada sub plot untuk watak Maria, lakonan Cik B itu.

Lagu Siapa Tak Mahu dendangan Siti Nurhaliza dijadikan runut bunyi drama Lelaki Lingkungan Cinta.

“Jangan terkejut, Cik B ada adegan bercinta dan nampak dia comel ketika babak itu. Bila pelakon lelaki itu cubit-cubit pipi dia dan Cik B pun pandai ad-lib manja-manja.

“Masa kita orang bagi tahu cerita dan plot kepada Datuk Vida dan Cik B, Datuk Vida nak sangat anaknya berlakon sebab Datuk Vida kata dia tak pernah tengok Cik B bercinta. Itu yang dia push juga supaya Cik B berlakon,” cerita Marr sambil ketawa.

Ternyata Zeel Production tidak salah membuat keputusan memilih Cik B kerana sebelum drama tersebut ditayangkan pada 21 Oktober lalu, ramai penerbit menghubungi mereka untuk menawarkan Cik B berlakon.

“Bila kita launch trailer hari tu, ramai yang tak sabar nak tengok kemunculan Cik B. Masa Cik B shooting, ramai produser call nak ambil Cik B berlakon tapi kita tak izinkan.

“Cik B kata, kalau dia berlakon nanti, mungkin dia akan memilih produksi sebab dia takut kena marah dan takut dapat team yang tak sesuai. Drama Lelaki Lingkungan Cinta kan kisah remaja, jadi dia mudah bergaul dengan pelakon lain,” katanya mengakhiri perbualan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here