PBSSPKL rayu moratorium automatik sehingga hujung tahun

0
483
FOTO: Wikimedia Commons/Aero7, CC BY-SA 2.5 MY , via Wikimedia Commons

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) merayu kerajaan memberi pertimbangan untuk melanjutkan moratorium secara automatik sehingga 31 Disember depan.

Menurut Pengerusinya,Mohd.Haron Mohd.Sidik,kes Covid-19 amat membimbangkan, bukan sahaja di Lembah Klang malahan di seluruh negara.

“Kami pengusaha bas berharap moratorium automatik sehingga hujung tahun ini.

“Pengusaha bas sekolah sukar untuk membuat lanjutan pinjaman kenderaan mereka dengan pihak bank atau syarikat kredit. Pelbagai dokumen yang diminta yang merumitkan permohonan moratorium secara peribadi,”katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd.Haron berkata, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bas sekolah RM600.00 juga masih ramai pengusaha-pengusaha belum mendapatkannya.

Katanya, ia berpunca daripada pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kepada pemohon.

“Talian-talian telefon APAD sukar ditembusi untuk ahli-ahli PBSSPKL membuat rujukan.

“Pegawai-pegawai APAD kurang mesra dengan pelanggan-pelanggan mereka. Ada pengusaha ke pejabat APAD tetapi pihak APAD memperlekehkan kehadiran mereka,”katanya.

Katanya lagi, tiada cara untuk pengusaha-pengusaha hendak mendapatkan maklumat sama ada permohonan mereka lulus atau tidak, ada kesilapan atau tidak di dalam permohonan mereka dan sebagainya.

Jelasnya lagi, ramai pengusaha yang kecewa, mereka tidak dapat BPN untuk pengusaha bas sekolah tersebut.

Beliau menambah, hala tuju dan mutu kerja APAD lebih teruk dari Suruhanjaya Pengangkutan Awan Darat (SPAD) atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sewajarnya melihat dan mengkaji semula kewujudan APAD ini sama ada perlu diganti dengan jabatan lain di dalam Kementerian Pengangkutan (MOT).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here