Black selami hati seorang duda

0
429
Single Sabar dendangan Black menampilkan genre balada yang sinonim dengan gaya persembahannya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SELEPAS empat tahun menyimpan lagu ciptaannya, tahun ini baru Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 33, berkeyakinan untuk ketengahkan karyanya kepada umum.

Black menjadikan lagu Sabar yang bergenre balada itu sebagai single baharunya.
Menurut Black, Sabar berbeza dengan lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini. Katanya, Sabar serasi dengan jiwanya dan mudah untuk beliau menyanyi.

”Sabar ni berentak balada Melayu, kiranya ia mengembalikan identiti muzik asal diri saya. Saya harap lagu yang sudah empat tahun saya simpan ini dapat mengembalikan kegemilangan kerjaya nyanyian saya.

“Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman awal saya dulu. Kiranya kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya. Sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat saja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik,” katanya.

Menerusia video muzik Sabar, Black melakonkan watak seorang bapa tunggal.

Tambah Black, Sabar berkisar tentang alam rumah tangga yag menuntut pengorbanan sekali gus menguji sejauh mana tahap sabar dan setia setiap pasangan.

Katanya, jika rintangan awal dalam rumah tangga berjaya diharungi, bermakna perjalanan seterusnya lebih mudah untuk ditempuhi. Apa yang penting, sabar perlu ada dalam diri untuk mengharungi segala macam cabaran.

Selain mencipta lagu tersebut, Black turut berlakon dalam video muzik (MV) Sabar, arahan Azuad Abdullah, 29, yang menjalani penggambaran selama dua hari. Dalam video muzik tersebut, Black berlakon sebagai bapa tunggal kepada seorang anak perempuan yang ingin berkahwin semula.

Black tidak kekok berlakon dalam video muzik Sabar.

“MV ini mengisahkan lelaki duda yang ada anak. Dia kemudiannya nak bercinta dengan seorang wanita. Malangnya, wanita itu hanya mahu menerima dirinya tapi tidak anaknya.

“Di depan lelaki itu, wanita itu berpura-pura menyukai anaknya, tapi di belakang bersikap sebaliknya. Sehingga akhirnya, lelaki itu dikecewakan tapi diubati dengan sokongan kasih sayang daripada anaknya.

“Kisah sebegini memang berlaku dalam masyarakat kita. Jadi, saya ingin paparkan yang mana tidak salah seorang duda untuk bercinta dan berkahwin lagi. Tapi, tidak semua melalui pengalaman indah,” jelas Black tentang jalan cerita MV tersebut.

Berkongsi mengenai penggambaran MV itu, Black berkata ia satu pengalaman baharu apabila berlakon dengan pelakon kanak-kanak perempuan yang memerlukan penghayatan dan emosi penuh sesuai dengan melodi lagu Sabar.

Empat tahun Black simpan lagu Sabar sebelum yakin untuk tonjolkan kepada orang ramai.

“Sejujurnya, tidak ada masalah untuk buat MV ini. Pelakon wanita dan kanak-kanak membawa watak masing-masing dengan baik. Walaupun saya tak pernah buat babak sebegini dalam MV sebelum ini, tapi ia tidak terlalu mudah dan susah. Cuma, untuk pelakon kanak-kanak mendapatkan mood sedih itu yang mengambil sedikit masa.

“Bagi saya, keunikan MV ini adalah dari segi nyanyian lagu ini. Apa yang saya rasa, dilontarkan sepenuhnya dalam lagu ini. Jadi, dalam MV ini pun ia meluahkan isi hati yang dirasai. Bagi mereka yang jenis family man, pasti lebih merasai MV ini,” katanya.

Sementara itu, Azuad berkata, pihaknya memberikan dua idea dari segi jalan cerita dan Black memilih idea kedua iaitu seperti apa yang dipaparkan dalam MV Sabar.

“Kami mengemukakan dua jalan cerita. Selepas perbincangan bersama Black, dia suka idea nombor dua. Jadi, kami menerangkan kepadanya jalan cerita penuh MV ini.

“Alhamdulillah, penggambaran yang dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan lancar. Satu hari membabitkan lakonan dan sehari lagi untuk rakaman nyanyian lagu saja.

Video muzik Sabar dapat ditonton di YouTube Nova Music pada pukul 9 malam ini.

“Disebabkan Black pun banyak pengalaman berlakon, jadi dia tidak ada masalah untuk membawa watak yang diberikan. Saya terangkan watak dan mood pun, dia faham. Begitu juga dengan Maira, dia juga bagus. Mereka tak perlu buat banyak take. Cuma, cabaran pada pelakon kanak-kanak saja. Tapi, Alhamdulillah, keserasian antara mereka dapat dirakam,” jelas Azuad.

Lagu Sabar yang merupakan terbitam dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer sejak 24 Julai lalu.

Manakala, video muzik rasmi Sabar boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada pukul 9 malam ini (26 Oktober) di pautan  https://youtu.be/Cd_59S6vgwk

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here