Rezeki Mael Totey The Movie cecah RM2.56 juta

0
796
Syahmi Sazli tak sangka filem pertama arahannya mendapat sokongan padu daripada orang ramai.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DALAM berkarya, mana mungkin penggiat seni dapat memuaskan hati semua penonton. Justeru itu akan timbullah kritikan daripada pihak yang tidak berkenan dan pujian daripada mereka yang menyukainya.

Sebenarnya, mudah saja untuk menilai sama ada filem itu disukai atau tidak. Kalau filem itu bergenre komedi dan mampu membuat penonton ketawa, berulang kalilah penonton itu akan tengok.

Bagi penonton, peduli apa dengan artistik karya tersebut kerana yang penting mereka terhibur.
Begitulah perihalnya yang berlaku kepada filem pertama arahan dan lakonan YouTuber, Syahmi Sazli.

Biarpun ada yang kata filem yang turut dilakonkan oleh Yoe Parey dan Asif Suhaimi itu ‘biasa-biasa’ saja tapi dek penonton dah terbiasa dengan aksi spontan mereka di YouTube, sebab itulah mereka melanggan MTTM di saluran Astro First.

Rezeki tak diduga, kerana dalam tempoh empat hari tayangan sejak 22 Oktober, MTTM berjaya meraih kutipan RM2.56 juta dan jumlah tersebut merupakan kutipan paling tinggi di platform Astro First dan sekali gus memecah rekod terdahulu yang dipegang oleh filem Syif Malam Raya.

Bagi Syahmi, kejayaan yang diraih oleh MTTM itu sebagai pemberi semangat baharu kepadanya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik.

Bermula sebagai pengarah video pendek untuk YouTube kini Syahmi Sazli jadi pengarah filem.

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton, peminat, pengikut kami serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang memberi sokongan padu pada filem ini.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih buat pihak Astro serta radio ERA, SINAR, ZAYAN dan terutamanya radio GEGAR yang banyak membantu dan memberi sokongan dari fasa produksi sehingga fasa promosi sekarang ini.

“Tidak dilupakan buat rakan media yang tidak putus-putus menghebahkan karya-karya saya selama ini. Saya tidak menyangka filem arahan pertama saya akan mendapat sambutan luar biasa. Fenomena yang tercetus ini memberi semangat baharu buat saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” katanya terharu.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membantu membuka ruang buat penerbit tempatan untuk menayangkan karya kepada penonton sasaran dalam tempoh sekarang ini.

Ternyata inisiatif ini dilihat mampu memberi jalan positif untuk menjana semula ekonomi dalam industri hiburan.

“Sesuatu yang agak istimewa tentang Mael Totey The Movie, ia merupakan hasil filem pertama produksi dan arahan bakat kreatif, Syahmi Sazli dan kejayaan ini telah menambahkan lagi sinar harapan baru buat industri perfileman tempatan yang terjejas akibat Covid-19.

“Di samping itu, kejayaan ini juga secara tidak langsung telah melahirkan bakat baharu dan menjadi game changer di dalam industri di mana seorang YouTuber berusaha memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi.

“Sokongan positif diberikan oleh para penonton mendorong pihak kami untuk membawakan lebih banyak filem yang dilihat berpotensi sebagai karya terbaik dan menepati cita rasa penonton,” kata Raja Jastina.

Selain menonton di Astro First dengan bayaran RM15 untuk tempoh 48 jam, anda juga boleh strim MTTM di Astro Go atau ON Demand.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here