Kisah benar ‘bilal’ gila kuasa dalam Iman Hakiki?

0
2858
RASHID Sibir (berkemeja-T merah) bersama Rahim Razali dan kru Telefilem “Iman Hakiki.”

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

APABILA kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 15 Mei lalu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, rakyat hanya dibenarkan melakukan kerja pejabat dari rumah sahaja.

Bukan setakat itu, malah masjid di seluruh negara diarah tutup bukan sahaja untuk solat jumaat malah solat lima waktu sehari juga tidak dibenarkan dan ini menyebabkan ramai merasakan ‘kehilangan’ sesuatu.

Tetapi tahukah anda sebelum PKP lagi ada segelintir masjid bukan sahaja ditutup pintunya malah pintu pagarnya turut dimangga daripada dimasuki mereka yang mahu menunaikan solat jika solat berjemaah telah selesai.

Tindakan itu bukan sahaja membebankan kepada ‘musafir’ yang ingin menumpang untuk mendirikan solat malah bagi mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampung.

KRU teknikal Telefilem “Iman Hakiki.”

Itulah antara dilema dan persoalan yang selama ini tidak ramai yang tahu dan ianya dipaparkan oleh penulis skrip dan pengarah yang tidak asing lagi, Rashid Sibir dalam Telefilem terbarunya “Iman Hakiki.”

“Iman Hakiki” terbitan Opera Klasik akan disiarkan di Astro Oasis HD (106) dan Astro Oasis (126) pada pukul 10 pagi sempena Maulidur Rasul pada Khamis ini (29 Oktober) yang memaparkan sikap segelintir mereka yang merasakan berkuasa terhadap sesebuah masjid walaupun hanya seorang Bilal.

“Apa yang saya paparkan dalam drama ini bukanlah rekaan tetapi itulah yang pernah saya hadapi dan alami bukan sahaja ketika mengarah malah ketika dalam perjalanan balik ke kampung di Kedah.

UMINAH Sidek (duduk dua dari kiri) bersama kru teknikal dan kru produksi “Iman Hakiki.”

“Bayangkan apabila saya berhenti di sesebuah masjid sebelum sampai ke destinasi, saya tengok pintu masjid dikunci dan apabila bertanya alasan mereka jika dibuka tidak pada waktu solat, barang-barang di masjid akan hilang dan selepas Isyak pintu dikunci dan lampu dipadam.

“Bukan itu sahaja, ketika sedang mengarah satu babak drama bersiri Tanah Kubur di sebuah masjid di Selangor setelah mendapat izin daripada Imam masjid berkenaan, tiba-tiba Bilal menghalang kerja saya.

“Bilal itu tidak membenarkan walaupun saya memberitahu babak berkenaan sekadar memberi pengajaran dan keinsafan kepada penonton. Bilal tidak berpuashati lalu memanggil Pengetua Tahfiz di kampung itu dan beliau mengutuk dan menuduh saya syirik.

“Saya kecewa kerana pandangan Pengetua Tahfiz yang cetek dan negatif terhadap saya. Bukan itu sahaja beliau menuduh saya menjual agama melalui drama seolah-olah saya tidak bermaruah dan tidak tahu hukum dan paling menyedihkan apabila beliau menganggap orang filem kurang ajar.

BERDIRI dari kiri: Hisyam Hamid, Rahim Razali, Ruminah Sidek, Atitaharis dan PU Azman dalam satu babak “Iman Hakiki.”

“Sama ada pengarah, pekerja di belakang tabir dan pelakon, kami bekerja dan mencari rezeki yang halal daripada bakat anugerah Allah demi meneruskan kehidupan.

“Walaupun kami orang seni dan bekerja di belakang tabir kami tahu hukum dan tanggungjawab kami sebagai orang Islam,” kata Rashid Sibir ketika dihubungi dan menceritakan pengalamannya yang menjadi persoalan utama dalam “Iman Hakiki.”

Menurut Rashid, dalam drama ini beliau ingin menekankan bahawasanya sejak zaman Rasulullah lagi masjid bukan untuk menunaikan solat sahaja malah ia diimarahkan untuk aktiviti yang berkaitan dengan agama.

Malah, katanya, masjid tidak sepatutnya ditutup untuk kanak-kanak kerana apabila kita sudah tiada merekalah yang akan mengimarahkan masjid ini dengan pelbagai kegiatan berfaedah berbentuk keagamaan.

Berdasarkan itulah lahirnya “Iman Hakiki” yang menjalani penggambaran selama seminggu di Ijok, Selangor baru-baru ini.

APALAH yang Bilal tak puashati agaknya. Satu babak lakonan (dari kiri) PU Azman, Hisyam Hamid dan Rahim Razali.

“Alhamdulillah, saya mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Imam sebuah masjid di sini. Apa yang membuatkan hati saya tersentuh apabila Imam mendapat tahu salah seorang pelakon drama ini ialah Cik Man (PU Azman) dan meminta beliau mengimamkan solat Maghrib kemudian memberi ceramah sebelum solat Isyak.

“Saya amat bersyukur dalam keadaan kerja yang terikat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP), kami dapat selesaikan penggambaran dalam waktu yang dirancangkan.

“Bukan itu sahaja malah para pelakon berpengalaman yang membintangi telefilem ini banyak membantu penggambaran ini berjalan dengan lancar,” kata Rashid.

Menyentuh mengenai Cik Man, seorang pendakwah bebas yang memegang watak kontras daripada drama sebelum ini, Rashid berkata;

“Sebenarnya saya pun tidak menduga Cik Man setuju dengan watak Bilal ini. Saya yakin para peminat Cik Man akan menyampah melihat Bilal Kamal yang angkuh kerana berbeza dengan watak beliau dalam drama-drama sebelum ini.”

Bercakap mengenai “Iman Hakiki,” Rashid berharap drama ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak menyalah tafsirkan fungsi masjid.

“Iman Hakiki” membawa kisah mengenai Iman, seorang musafir yang ingin menumpang solat dan tidur di sebuah masjid. Sayangnya masjid dikunci jadi Iman sekadar menumpang tidur di satu sudut di luar masjid.

Bilal Kamal yang sampai dan ternampak Iman solat di satu sudut beliau membiarkan sahaja. Setelah solat Subuh, Iman meminta izin untuk tidur di masjid. Pada mulanya Bilal tidak membenarkan tetapi Pak Daud salah seorang AJK masjid mengizinkan.

DARI kiri: Rahim Razali, Ruminah Sidek, Atitaharis dan Hisyam Hamid.

Sebagai musafir, tanpa menduga Iman dapat menjalin silaturrahim dengan seorang jemaah tetap masjid iaitu Tok Mahat ketika membantu Tok Mahat jatuh dan menghantarnya balik rumah di belakang masjid.

Bermula dari saat itulah sedikit demi sedikit Iman membongkar kepincangan Bilal dalam menyantuni jemaah setempat terutama wargaemas seperti Tok Mahat.

Bilal yang idamkan jawatan Imam tetapi tiada kelulusan mencuba sedaya upaya agar impiannya tercapai.

Bagaimanapun impiannya musnah apabila Imam baharu masjid berkenaan datang dan kehadiran Imam berkenaan membuatkan Bilal terkejut! Siapakah Imam baharu itu? Apakah penduduk dapat menerima Imam yang lebih muda dan bukan penduduk setempat?

Segalanya akan terjawab apabila “Iman Hakiki” ditayangkan Khamis ini dengan barisan pelakon Hisyam Hamid (Iman), Datuk Rahim Razali (Tok Mahat), Zaidi Omar (Pak Daud), PU Azman (Bilal Kamal), Atitaharis (Maimunah), Ruminah Sidek (Nek Teh), Rashid Sibir (Yus) dan Aishah Sudin (Mak Sal).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here