FOTO: Aziz A. Shariff.

PUTRAJAYA — Harga siling runcit baharu bagi pelitup muka jenis 3 lapisan diturunkan kepada 70 sen daripada RM1 sekeping berkuat kuasa Ahad ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, harga maksimum pelitup muka jenis tiga lapis di peringkat borong pula diturunkan kepada 65 sen sekeping daripada 95 sen.

Katanya, mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu terutama penggunaan pelitup muka yang berterusan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat kajian semula harga pelitup muka melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport.

“Harga baru ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata, harga siling runcit bagi pelitup muka 1 lapisan pula ditetapkan 7 sen sekeping, pelitup muka 2 lapisan 20 sen sekeping manakala pelitup muka N95 pada RM6 sekeping.

Sementara itu, beliau berkata KPDNHEP sudah menjalankan 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi pelitup muka di seluruh negara sejak 29 Januari hingga Ahad lalu.

“Tindakan pemeriksaan tersebut berjaya menghasilkan sebanyak 73 kes dengan nilai rampasan RM543,737 dan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM518,400,” katanya.

Peniaga yang gagal mematuhi perintah bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan penalti seperti bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

Pesalah individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala pesalah syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan harga terkawal pula, pesalah individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, manakala pesalah syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000, katanya.

-Bernama

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here