Hero cilik Lombok bakal mendengar, bertutur hasil bantuan doktor Malaysia

0
347
Gambar atas: Bernama

 

KUALA LUMPUR: Penderitaan selama 12 tahun Taufik, hero cilik Lombok yang tidak boleh mendengar dan bertutur, bakal berakhir selepas seorang doktor dari Malaysia sedia merawatnya.

Terkesan dengan kisah Taufik, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) warga Indonesia yang dilahirkan tidak seperti kanak-kanak lain, pakar bedah telinga sebuah hospital swasta di ibu negara, Prof Datuk Dr Lokman Saim, tampil untuk membantu kanak-kanak malang itu.

“Rakan saya memaklumkan mengenai kekurangan Taufik selepas membaca laporan di akhbar dan terus menghubungi saya. Selepas melihat gambar Taufik yang tidak mempunyai cuping telinga, saya tahu itu adalah satu daripada pengkhususan perawatan saya.

“Saya turut menghubungi Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk memberitahu mengenai kesediaan saya merawat Taufik kerana difahamkan badan bukan kerajaan (NGO) itu yang mencari dana untuk membantu Taufik,” katanya kepada Bernama News Channel (Astro saluran 502) di sini, semalam.

Dr Lokman berkata hasil laporan saringan awal kesihatan yang dijalankan oleh doktor merawat Taufik di Rumah Sakit Umum Daerah Nusa Tenggara Barat sudah diperoleh beliau kelmarin.

“Apabila meneliti laporan terbabit, saya dapati berkemungkinan besar Taufik tiada cuping yang normal, tiada liang (lubang) telinga tetapi menerusi imbasan CT yang dibuat, beliau mempunyai koklea iaitu alat pendengaran paling dalam, bagaimanapun saya akan membuat pemeriksaan klinikal sekali lagi.

“Terdapat dua prosedur yang boleh dibuat iaitu pembedahan biasa untuk membuat liang telinga atau menanam implan dikenali sebagai ‘Bone Conduction Hearing Implant’ (BAHA) iaitu sejenis alat yang ditanam di belakang cuping telinga bagi meningkatkan pendengaran pesakit,” katanya.

Dr Lokman berkata beliau akan berlepas ke Lombok esok ini dan menemui Taufik untuk menjalankan saringan akhir bagi menentukan prosedur yang terbaik untuk merawatnya.

Menurutnya, selepas Taufik boleh mendengar, rawatan susulan seperti terapi pertuturan akan diberikan bagi membolehkan kedua-dua anggota badan terbabit berfungsi dengan baik.

Sebelum ini, Bernama News Channel yang mengikuti misi kemanusiaan #peduligempalombok melaporkan mengenai Taufik yang dinamakan sebagai ikon ‘hero cilik’ oleh GPM Malaysia kerana menyelamatkan enam rakyat Malaysia yang menjadi mangsa gempa bumi di Air Terjun Tiu Kelep di Senaru, Lombok, 17 Mac lalu.

Dalam kejadian gempa bumi itu, dua rakyat Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Tai Siew Kim dan seorang lagi peserta dikenali sebagai Lim Sai Wah, dilaporkan maut.

– BERNAMA
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here