FELDA: Tamatkan LLA, terbitan sukuk RM9.9 bln antara cadangan yang diluluskan jemaah menteri – Mustapa

0
326

KUALA LUMPUR — Penamatan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan FGV Holdings Bhd dan cadangan penerbitan sukuk oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan merupakan antara cadangan yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata antara cadangan lain yang diterima adalah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan dan meningkatkan daya berdikari peneroka.

“Dengan menamatkan LLA, ia boleh meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang FELDA,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mustapa berkata Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh FELDA bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan FELDA yang dikemukakan.

Beliau berkata kedudukan kewangan FELDA dijangka mencatatkan aliran positif bermula tahun 2023 dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif berkenaan.

FELDA akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang dihormati dan berdaya maju. Penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh FELDA tidak akan lengkap tanpa pengukuhan tadbir urus serta kecekapan dalam menguruskan ladang, jelas beliau.

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah serta pengurusan FELDA hendaklah komited meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambahbaik tadbir urus.

“Pelaksanaan cadangan-cadangan ini oleh FELDA akan dipantau secara terperinci oleh sebuah jawatankuasa pemantauan yang akan melapor kepada Perdana Menteri,” kata Mustapa.

Menurut kenyataan itu, cadangan-cadangan ini adalah daripada Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu FELDA yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar dan turut disertai oleh Pengerusi FELDA,  Datuk Seri Idris Jusoh.

Pasukan ini yang merupakan kesinambungan daripada Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian FELDA’ yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April, 2019, telah mengenal pasti beberapa masalah utama yang dihadapi oleh FELDA dan amat penting untuk ditangani segera.

Antara masalah utama yang dihadapi ialah struktur modal yang tidak mampan dan bebanan hutang yang tinggi berjumlah RM10.6 bilion.

Keadaan ini juga berpunca daripada sumber pendapatan yang berkurangan terutamanya terimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah LLA.

Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh Felda.

Laporan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu FELDA ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Okt, 2020.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here