Felda, pembentukan wajah dan watak baharu

0
360

Oleh Ayob Mamat
CADANGAN FELDA untuk mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV Holdings Bhd (FGV) nampaknya telah mendapat reaksi yang menakjubkan, bukan sahaja di kalangan warga FELDA tetapi juga masyarakat di luar agensi itu.

FGV adalah “jenama” yang cukup sensetif bagi peneroka FELDA dan generasi mereka kerana dianggap seperti meragut masa depan golongan itu setelah tanah tersebut dipajakkan.

Apa yang digembar-gemburkan sebelum pajakkan tanah tersebut dimeterai ternyata tidak menjadi kenyataan dan merugikan Felda, manakala kegusaran peneroka FELDA selama ini berhubung isu itu adalah berasas.

Pengerusi FELDA yang baharu, Datuk Seri Idris Jusoh yang membawa berita gembira tersebut berkata, perkara itu telah dipersetujui Lembaga Pengarah FELDA dan kini sedang menunggu keputusan kerajaan sebelum rundingan boleh dimulakan dengan FGV.

Langkah itu adalah sebahagian daripada transformasi yang ingin dijalankan FELDA menerusi pengenalan model perniagaan baharu yang lebih mapan dan berdaya saing untuk agensi itu.

Ia juga menjadi sebahagian daripada strategi FELDA untuk memperkukuhkan kewangannya.

Untuk rekod, pendapatan FELDA daripada keuntungan operasi ladangnya mula merosot sejak 2012 selepas FGV disenaraikan di Bursa Malaysia.

Manakala pada tahun 2019, syarikat itu hanya merekodkan keuntungan sebanyak RM16.51 juta.

Jumlah itu jauh berbeza daripada yang pernah dicatatkan FELDA sebelum itu dengan yang tertinggi pernah dicapai pada 2011, iaitu RM1.85 bilion.

“Sebelum ini, keuntungan berbilion ringgit bukan sesuatu yang baharu buat FELDA, malah sejak 2007, keuntungan operasi ladang FELDA semuanya melepasi paras RM1 bilion kecuali pada 2009 yang mencatatkan RM854 juta.

“Selepas (FGV) disenaraikan, ia (keuntungan FELDA) mula jatuh dengan banyak sehinggakan apabila kita tidak cukup duit, FELDA terpaksa berhutang dengan bank dan sehingga sekarang, hutang sudah mencecah RM10 bilion,” katanya sebagaimana dipetik media.

Hakikatnya, FGV tidak memberikan keuntungan yang diharapkan kepada FELDA sebagaimana yang pernah dicanangkan selama ini.

Daripada RM800 juga hasil setahun yang dijangka dapat diberikan kepada Felda, hanya sekitar RM250 juta yang mampu diterima FELDA.

FELDA ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 dengan keluasan tanah ketika itu 31,950.93 hektar.

Ia bertujuan bagi membasmi kemiskinan melalui pembangunan tanah dan penempatan semula masyarakat luar Bandar.

Bagaimanapun, mulai 1996, kerajaan telah  bersetuju untuk tidak lagi memberikan peruntukan kepada FELDA kerana yakin FELDA telah mampu berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri.

Maka tidak hairanlah Idris yang dilantik sebagai Pengerusi Baharu FELDA pada 1 Mei lalu telah melihat mengenai perkara ini dan memberikan fokus utama dalam memulihkan imej FELDA yang dilihat agak tercalar sebelum ini.

Pembentukan hasil terbaik yang memberi tumpuan terhadap lima tonggak utama iaitu tadbir urus, peneroka, ladang, pendidikan dan keberkatan telah dibentuk.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berpendapat, FELDA memerlukan pembaharuan untuk kembali menjadi “lubuk emas”.

Antara inisiatif yang digariskan  dalam proses pembaharuan tersebut adalah mewujudkan 15 peratus ketua blok baharu yang terdiri daripada generasi kedua FELDA berusia kurang 50 tahun.

Kebiasaannya usia ketua blok sebelum ini adalah antara 60 hingga 70 tahun ke atas.

Mensasarkan pendapatan peneroka sehingga RM5,000 sebulan menjelang tahun 2023 dan melahirkan usahawan jutawan termasuk 3,170 lain-lain usahawan menjelang tahun 2025 yang melibatkan penyertaan generasi kedua, ketiga dan keempat FELDA.

Kesemua itu adalah pelengkap kepada “model baharu FELDA” yang memberikan fokus terhadap tiga agenda teras iaitu rantaian bekalan yang lengkap, pengurusan pinjaman kepada peneroka dan set minda peneroka.

Dengan usia 64 tahun, FELDA yang membentuk 112,638 orang peneroka di 317 Tanah Rancangan, agensi itu sudah pasti mampu berdiri di atas mimbar kecemerlangan yang tersendiri.

Idris yang terkenal sebagai tokoh yang cintakan ilmu turut membawa Neuro Linguistic Programming (NLP) sebagai rangka pembentukan pemikiran penggerak dan peneroka FELDA agar mempunyai pemikiran  bertaraf tinggi.

Apatah lagi FELDA mempunyai senarai yang panjang di kalangan anak generasi agensi itu yang telah melakar kejayaan dalam pelbagai bidang – itu sungguh membanggakan.

Hakikatnya, beliau sedang mempersiapkan FELDA untuk muncul sebagai platform berwajah dan berwatak baharu bagi mengisi pembangunan negara.

Secara realistiknya, walaupun baharu setengah tahun menerajui FELDA, Idris telah melihat “banyak perkara”  yang membuktikan bahawa FELDA bukan berada di hatinya sehari dua ini, malah sejak sekian lama.

Sebenarnya, kesemua itu adalah pelengkap kepada langkah bijak beliau untuk mengembalikan semula tanah yang dipajakkan FELDA kepada FGV Holding, sekaligus memulihkan kedudukan kewangan FELDA yang menjadi nadi utama agensi berkenaan untuk bergerak pantas.

Apatah lagi FELDA juga bercita-cita untuk menjadi pemain utama dalam sektor pembekalan makanan di negara dan itu sebenarnya cukup berasas.

FELDA adalah kebanggaan penerokanya dan anak generasi mereka serta seluruh rakyat Malaysia.

Kegemilangan FELDA itu hanya boleh dikembalikan dengan keberanian membentuk pembaharuan.

Idris Jusoh kini sedang melakukannya.

Penulis adalah Mantan Presiden Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT), penulis buku dan pengacara rancangan isu semasa di media social. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here