“Jamin usul undi tidak percaya boleh dibahas, Belanjawan akan lulus”

0
466

SPEAKER Dewan Rakyat boleh menjayakan titah Yang Dipertuan Agong agar Belanjawan 2021 diluluskan dengan cara beliau memberikan jaminan bahawa usul undi tidak percaya kepada perdana menteri boleh dibahaskan dan diundi.

Bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, ia boleh dibuat jika Datuk Azhar Azizan Harun, boleh memberi jaminan yang usul-usul undi tidak percaya ini akan dibenarkan dan diberikan keutamaan.

“Kalau ahli Dewan mahu, mereka boleh membezakan antara keperluan meluluskan Belanjawan dengan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

“Dalam hal ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, boleh menyelamatkan Rang Undang-undang Belanjawan dengan memberi jaminan yang usul-usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri akan dibenarkan dan diberikan keutamaan,” kata beliau dalam tulisan di Facebooknya.

Yang Dipertuan Agong sudah dua kali memberikan saranan kepada semua pemimpin politik agar jangan bermain politik ketika wabak Covid-19 melanda dan meminta mereka memastikan Belanjawan 2021 diluluskan untuk membolehkan negara berbelanja melawan Covid-19.

Bagi Kadir, bekas Ketua Pengarang media utama negara itu, beliau tidak perlu hairan atau terkejut jika Belanjawan 2021 yang akan ditentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini ditentang oleh anggota Dewan dan tidak dapat diluluskan.

“Kita kena ingat iaitu walaupun Parlimen Malaysia sudah cacamarba akibat rampasan kuasa terhadap Pakatan Harapan oleh Perikatan Nasional namun ia tetap dewan perundangan yang sah.

“Lagipun, cerita Rang Undang-undang Belanjawan atau Bajet tidak mendapat sokongan ahli Dewan bukan perkara baru atau tidak pernah berlaku,” kata beliau.

Katanya, pada tahun 2018, Blok Pembangkang yang diketuai oleh Barisan Nasional menolak Rang Undang-undang Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh kerajaan PH.

“Bezanya waktu itu kita mempunyai kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat jelata melalui pilihan raya. Belanjawan tersebut akhirnya diluluskan dengan sokongan majoriti ahli Dewan. Belanjawan 2020 juga diluluskan tanpa sebarang kontroversi,” katanya.

Tapi keadaan sekarang berlainan, kata beliau.

“Kerajaan PN tidak dipilih oleh rakyat jelata melalui pilihan raya. Ia terbentuk hasil konspirasi dan lompat parti.

“Jadi tidak hairanlah ia tidak kuat dan tidak stabil. Taat setia berbelah bagi dan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat jelata,” katanya.

Tambah memburukkan keadaan, katanya, mereka kini bercakaran sesama sendiri dalam perebutan kuasa antara Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

“Kita tidak perlu hairan jika kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat jelata kerana ada di kalangan pelakon utama perebutan kuasa itu ada watak-watak yang sudah atau sedang berdepan dengan kemungkinan ke penjara,” katanya.

Katanya, kalau Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dan Bossku Mohd Najib Abdul Razak, sanggup membelakangi Umno dengan mengutus surat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Anwar, “kita boleh bayangkan bentuk persetujuan belakang tabir yang telah mereka capai.”

Namun semua ini, katanya, tidak bermakna kita tidak akan mempunyai Belanjawan untuk tahun 2021.

“Tanpa Belanjawan negara kita akan muflis. Wakil Rakyat pun tak dapat gaji,” kata beliau.

https://bit.ly/2Twuzzw
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here