Rakyat Malaysia disaran jaga sensitiviti elak sentimen agama

0
480
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (empat, kanan) menyampaikan replika sumbangan selepas menyempurnakan majlis pelepasan program Ziarah Prihatin Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442H di Pusat Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah, hari ini. --fotoBERNAMA

MELAKA — Masyarakat berbilang kaum di negara ini diseru supaya saling bertoleransi serta menjaga sensitiviti masing-masing agar tidak menimbulkan sebarang isu yang boleh menggores hati atau mewujudkan kebencian dan menyentuh sentimen agama.

Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata rakyat negara ini perlu mengambil iktibar daripada insiden di Perancis yang mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia berikutan kenyataan Presidennya Emmanuel Macron baru-baru ini yang disifatkan sebagai menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan umatnya.

Beliau berkata dalam konteks itu, umat Islam perlu berpegang kepada firman Allah seperti dalam Surah al-Kafirun ayat 6 bermaksud ‘Untukmu agamamu dan untukku agamaku’ yang boleh diamalkan rakyat di negara ini.

“Kepada semua masyarakat, diingatkan supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi sama ada orang bukan Islam menghina Islam (atau sebaliknya). Kita harus jaga sensitiviti ini.

“Kepada umat Islam, kita juga hormati agama lain iaitu dari sudut perlembagaan yang memberi kebebasan beragama di negara ini tanpa kita persendakan kitab dan amalan ritual mereka kerana jika elemen-elemen ini berlaku, sudah pasti akan menyebabkan pertembungan dahsyat melibatkan pegangan dan kepercayaan,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Prihatin sempena sambutan Maulidur Rasul 1442H di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata pihaknya turut mengutuk sekeras-kerasnya insiden di Perancis yang melibatkan elemen sensitif dan menghina Rasulullah yang dilihat sering berlaku di barat akibat fenomena Islamofobia dan perlu ditangani supaya tidak menular ke negara lain termasuk Malaysia.

Beliau juga berkata kempen memboikot produk keluaran Perancis merupakan satu pendekatan yang boleh diambil oleh umat Islam agar ia memberi peringatan kepada semua pihak supaya lebih menjaga sensitiviti berkaitan agama.

“Ia terpulang kepada diri masing-masing kerana setiap pengguna mempunyai hak untuk melakukan tindakan boikot itu dan pembeli juga perlu bijak menangani isu ini secara holistik.

“Apa sahaja bantahan mengenai isu ini dinasihatkan supaya tidak melanggar undang-undang yang telah dikuatkuasakan kerana sebagai umat Islam, kita mempunyai akhlak yang tertib untuk menzahirkan (pandangan) secara hikmah,” katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here